Selasa, 22 Ogos 2017 | 12:02am
PENYERANG negara, N Thanabalan meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Myanmar pada aksi Kumpulan A Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - Foto BERNAMA

Kim Swee mahu anak buah lebih fokus

SHAH ALAM: Skuad bola sepak negara mempamerkan belang sebenar dalam misi buruan pingat emas apabila membenam Myanmar 3-1 dalam kempen Kumpulan A di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Datuk Ong Kim Swee layak ke separuh akhir bersama Myanmar dengan berkongsi sembilan mata namun skuad muda negara berpeluang untuk muncul juara kumpulan kerana masih mempunyai baki satu perlawanan menentang Laos, Rabu ini.

Menurut Kim Swee, kemenangan itu membuktikan bahawa pasukannya mempunyai potensi untuk mencabar kejuaraan selepas kali terakhir merangkul ibu segala pingat di Sukan SEA Jakarta 2011.

"Seperti yang saya cakap sebelum perlawanan, saya mempunyai pasukan yang boleh mengalahkan mana-mana pasukan jika mereka bermain di tahap sebenar dan berdisiplin," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Malaysia yang mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas Brunei dan Singapura dengan keputusan 2-1 garang pada babak pertama apabila dua kali mengegar gawang Myanmar, naib juara dua tahun lalu.

Kim Swee menurunkan skuad terbaiknya dengan dua pemain gantian yang menjaringkan gol ketika membenam Singapura Nor Azam Azih dan N Thanabalan berada dalam kesebelasan utama.


PEMAIN Malaysia, Muhd Safawi Rasid (kanan) diasak pemain Myanmar, Htike Aung dalam aksi Kumpulan A menentang Myanmar di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

Percaturan itu jelas membuahkan hasil apabila Thanabalan meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-33 selepas menolak bola sepakan Matthew Davies dalam kotak penalti.

Ribuan penyokong yang membanjiri terus berpesta apabila penyerang Safawi Rasid pantas menghidu peluang dengan menanduk masuk bola hantaran lintang S Kumaahran dua minit kemudian.

Ketika anak buah Gerd Zeise bangkit memburu gol, Thanabalan sekali lagi membuktikan sentuhan penyudahnya dengan menanduk masuk bola hantaran lintang pemain gantian Jafri Firdaus Chew di minit ke-82.

Myanmar dibarisi ramai pemain yang beraksi di Piala Dunia B-20 pada 2015 berjaya juga memperoleh gol pada minit ke-86 apabila pemain gantian Than Paing mudah menolak masuk bola menewaskan penjaga gol Haziq Nadzli.

"Bila kita mendahului 2,3 gol dalam perlawanan sudah tentu pasukan lawan akan memberikan tekanan. Gol yang kita bolos bukan kerana mereka mencipta gerakan tapi disebabkan kesilapan kita sendiri.

"Ia berlaku lagi dan aspek ini perlu diperbaiki di mana kita kena terus fokus sehingga tamat permainan," katanya.

Malaysia akan bertemu Laos, Rabu ini pada perlawanan terakhir di mana keputusan seri sudah cukup untuk muncul juara kumpulan.


PEMAIN Malaysia, Muhd Safawi Rasid meraikan jaringan keduanya bersama penonton dalam aksi Kumpulan A menentang Myanmar di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

Berita Harian X