Jumaat, 25 Ogos 2017 | 5:35pm
GAYA Safawi Rasid selepas menjaringkan gol ketika menentang Myanmar di Stadium Shah Alam pada 21 Ogos lalu. - Foto Hairul Anuar Rahim

KL2017: Safawi sedia gempur kubu Indonesia

SHAH ALAM: Selepas direhatkan dalam perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Laos, penyerang negara Safawi Rasid tidak sabar untuk beraksi semula dalam perlawanan cukup getir berdepan Indonesia pada separuh akhir di Stadium Shah Alam, esok.

Pemain 20 tahun itu berkata, dua gol yang disumbangkan dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini belum cukup memuaskan hatinya kerana misinya kini adalah untuk menewaskan Indonesia bagi meraih tiket ke final.


SAFAWI Rasid (tengah) bersama Adam Nor Azlin (kiri) dan Muhd Syazwan Andik Mohd Ishak pada sesi latihan di Pusat Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, Shah Alam.- Foto Hairul Anuar Rahim

"Saya direhatkan sebelum ini dan saya rasa sudah cergas sepenuhnya dan berada di tahap terbaik untuk diturunkan menentang Indonesia," kata Safawi.

Safawi antara pemain paling konsisten dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee setakat ini.

Selain menyumbat satu gol ketika menewaskan Brunei 2-1 dan Myanmar 3-1, kepantasan dan kelincahannya menggelecek pemain lawan adalah senjata utamanya serta memiliki rembatan kaki kiri yang padu.

Pemain kelahiran Terengganu yang kini mewakili Johor Darul Ta'zim (Johor DT) itu dijangka akan bergandingan dengan Jafri Firdaus Chew dan N Thanabalan untuk menggempur kubu Indonesia.

"Kita pernah bertemu dengan Indonesia di kelayakan AFC di Bangkok sebelum ini. Walaupun kita menang, kita tak boleh terlalu yakin. Kita kena main seperti biasa dan memang saya mahukan kemenangan ke atas Indonesia untuk ke final," kata Safawi.

Berita Harian X