Sabtu, 26 Ogos 2017 | 7:12am
PEMAIN PSG, Neymar cuba melepasi pertahanan pemain Saint-Etienne, Jonathan Bamba pada aksi Ligue 1 di Stadium Parc des Princes, awal pagi tadi. - Foto AFP

PSG menang lagi, Cavani menyerlah

PARIS: Neymar memainkan peranan perancang dalam kemenangan 3-0 Paris Saint-Germain ke atas Saint-Etienne dalam saingan Ligue 1 awal pagi tadi, dengan Edinson Cavani meledak dua gol dan satu dari Thiago Motta.

Pemain termahal dunia itu - penjaring tiga gol dalam dua perlawanan sulungnya sejak perpindahan bernilai 222 juta euro (RM1.13 bilion) dari Barcelona - masih memberi impak dengan hantarannya mencetus kekasaran ke atas Cavani dan berakhir dengan jaringan penalti oleh pemain Uruguay itu.

Jaringan Motta selepas rehat juga bermula dari sepakan percuma Neymar sebelum Cavani melengkapkan kemenangan di akhir permainan untuk permulaan sempurna PSG pada kempen baharu Liga Perancis dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan.


PEMAIN PSG, Edinson Cavani (kiri) diasak pemain Saint-Etienne, Loic Perrin (kanan) pada aksi Ligue 1 di Stadium Parc des Princes, awal pagi tadi. - Foto AFP

Juara bertahan Monaco satu-satunya pasukan yang menemani PSG dalam liga tertinggi Perancis itu dengan rekod 100 peratus, walaupun mereka berdepan ujian sukar di laman sendiri berdepan Marseille esok.

Lyon yang belum tewas mampu memintas Monaco di tangga kedua sekiranya menangi di Nantes hari ini. - AFP


PEMAIN PSG meraikan jaringan Thiago Motta dalam perlawanan menentang Saint-Etienne pada aksi Ligue 1 di Stadium Parc des Princes, awal pagi tadi. - Foto AFP

Berita Harian X