Sabtu, 2 September 2017 | 10:41pm
JURGEN Klopp (kanan) memeluk Coutinho selepas aksi Liga Perdana Inggeris, musim lalu. - Foto AFP

Liverpool letak harga Coutinho RM1.01 bilion

BARCELONA: Ahli Lembaga Pengarah Barcelona mendakwa Liverpool meletakkan harga 200 juta euro (RM1.01 bilion) untuk perancang tengah Philippe Coutinho tatkala mengkritik peningkatan luar biasa yuran perpindahan pemain pada jendela kali ini.

Pengarah Hubungan Institusi Barcelona, Albert Soler, berkata walaupun pihaknya berada dalam keadaan tertekan, mereka enggan tunduk kepada tuntutan berlebihan itu.

"Liverpool meletakkan harga 200 juta euro (RM1.01 bilion) ke atas pemain yang kami inginkan," kata Soler kepada pemberita pada sidang media yang diadakan bagi menjelaskan isu polisi pembelian pemain yang menyaksikan Barca terlepas beberapa pemain bintang.

Barca hanya menjana sedikit keuntungan pada jendela musim panas ini selepas menerima tawaran rekod perpindahan dunia 222 juta euro (RM1.12 bilion) untuk Neymar daripada PSG.

BARCELONA masih menaruh harapan untuk mengikat perancang tengah Liverpool, Philippe Coutinho walaupun mendakwa harga RM1.01 bilion tidak masuk akal. - Foto AFP

Meskipun berbelanja 190 juta euro (RM962 juta) untuk mengikat lima pemain termasuk pembelian 105 juta euro (RM531 juta) untuk Ousmane Dembele, Soler menegaskan Barca tidak akan sesekali 'membazir duit' berlumba dengan kelab Liga Perdana Inggeris serta PSG.

"Kami tidak mahu meletakkan warisan kelab ini dalam keadaan berisiko. Ini adalah kelab yang dimiliki 150,000 ahli dan kami menguruskannya dengan sebaik mungkin," kata Soler.

"Kami tidak mahu terbabit dalam harga 'gila' pasaran kali ini yang hilang punca. Kami tidak mahu meletakkan kelab ini dalam keadaan bahaya."

Semalam, UEFA mengumumkan bahawa pihaknya akan melakukan siasatan terhadap PSG atas sabit kesalahan melanggar peraturan fair play kewangan (FFP) selepas mengikat Kylian Mbappe dari Monaco dalam perjanjian yang boleh meningkat sehingga 180 juta Euro.

Berita Harian X