Isnin, 18 September 2017 | 5:41pm
PASUKAN Negeri Sembilan kini berada di tangga ketiga Liga Perdana dengan mengumpul 38 mata. - Foto Hazreen Mohamad

Penyokong harap NS bangkit

SEREMBAN: Skuad Negeri Sembilan perlu mempamerkan kebangkitan jika mahu memastikan tiga mata diraih pada pertemuan dengan PKNP FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Perak, Ipoh, malam esok.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 9 September lalu, pemain Negeri Sembilan harus mencari jalan bagaimana untuk menembusi benteng skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu.

Bagi Timbalan Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com), Mohamad Faidzul Mohd Noh, barisan kejurulatihan skuad Hobin perlu memikirkan kaedah terbaik untuk mengatasi masalah ketumpulan barisan serangan.

Menurutnya, berpandukan aksi sebelum ini, nyata ketumpulan penyudah menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan mengekalkan rentak kemenangan.

Tambahan pula apabila berdepan dengan PKNP FC yang sudah membuktikan kemampuan sebagai pasukan yang seimbang dan mantap, apabila memperagakan aksi luar biasa dengan menewaskan FELDA United FC pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Jengka, Jumaat lalu.

"Saya berharap barisan kejurulatihan Negeri Sembilan sudah dapat mencaturkan strategi terbaik terutama di bahagian serangan dalam memastikan kemenangan ke atas PKNP FC, malam esok.

"Mahu tidak mahu, Negeri Sembilan perlu memastikan tiga mata dalam genggaman pada aksi itu, justeru kami berharap mereka fokus dan kerahkan segala kekuatan bagi merealisasikan kemenangan," katanya di sini, hari ini.


SEREMBAN 08 SEPTEMBER 2017.Sesi latihan skuad bola sepak Negeri Sembilan menjelang perlawanan Piala Malaysia 2017 serta perlawanan Liga Perdana yang akan disambung semula selepas berehat sebulan di UiTM Seremban 3, Negeri Sembilan. NSTP/HAZREEN MOHAMADHAZREEN MOHAMAD

Negeri Sembilan yang menguasai persada Liga Perdana pada peringkat awal, kini berada di tangga ketiga dengan mengumpul 38 mata, berbanding PKNP FC di tangga keempat dengan 37 mata.

Melihat situasi itu, Mohamad Faidzul berkata, skuad bimbingan Mohd Asri Ninggal tidak boleh tercicir mata kerana ia akan menyukarkan lagi misi layak ke Liga Super musim depan.

Katanya, sebagai peminat setia di saat genting itu, penyokong akan terus bersama pasukan bagi menyuntik semangat pemain di dalam padang.

"Saya dan penyokong juga yakin pemain sedar bahawa layak ke Liga Super adalah penanda aras buat Negeri Sembilan musim ini.

"Hakikatnya, harapan itu masih ada dan pemain perlu menunjukkan persembahan mantap," katanya.


KETUA Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Asri Ninggal memberi arahan pada sesi latihan skuad Negeri Sembilan menjelang perlawanan Liga Perdana. - Foto Hazreen Mohamad

Berita Harian X