Rabu, 20 September 2017 | 2:56pm
AKSI penjaga gol Negeri Sembilan, Mohamad Kaharuddin berjaya menyelamat rembatan pemain PKNP FC, Hyeon Woo Kim (dua dari kiri) pada saingan Liga Perdana 2017 di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi. - Foto Abdullah Yusof
AKSI penjaga gol Negeri Sembilan, Mohamad Kaharuddin berjaya menyelamat rembatan pemain PKNP FC, Hyeon Woo Kim (dua dari kiri) pada saingan Liga Perdana 2017 di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi. - Foto Abdullah Yusof

Asri anggap NS tolak tuah

IPOH: Negeri Sembilan tolak tuah! Begitu kata jurulatih Asri Ninggal selepas kekalahan 1-3 anak buahnya di tangan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dalam saingan Liga Perdana di Ipoh, malam tadi.

"Kami tidak guna peluang-peluang diperoleh sebaiknya termasuk yang terbuka. Sebaliknya tuan rumah memanfaatkan tiga peluangnya dengan menterjemahkan menjadi gol. Saya sungguh kecewa dengan kekalahan ini," katanya selepas perlawanan. 

Menurut Asri, Negeri Sembilan tertekan di awal perlawanan hingga membolehkan PKNP FC mendahului 2-0 selepas hanya 21 minit aksi.

KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Asri Ninggal gesa anak buah lupakan kekalahan kepada PKNP FC. - Foto Iqmal Haqim Rosman
KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Asri Ninggal gesa anak buah lupakan kekalahan kepada PKNP FC. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Bagaimanapun pemain Negeri Sembilan bangkit dan berjaya merapatkan jurang melalui kapten kami (Andrew Lee Tuck) dan selepas itu menguasai perlawanan tetapi gagal menyudahkan peluang dicipta," katanya. 

Berikutan kekalahan itu merencat peluang pasukan Hobin Jang Hobin layak ke Liga Super 2018.  malah turun ke kedudukan keempat apabila dipintas PKNP FC serta di belakang Kuala Lumpur dan Terengganu. 

Namun Asri belum menyerah kalah kerana dari segi perkiraan matematik masih berpeluang mendaki dengan syarat mereka menang baki dua perlawanan manakala tiga pencabar itu gagal mengutip mata tambahan.   

Sementara itu, jurulatih tuan rumah, Abu Bakar Fadzim memuji persembahan anak buahnya yang menunjuk perwatakan mantap biarpun mengharungi cabaran sukar dalam dua perlawanan terakhir. 

Bagi Bakar kesungguhan dan kerjasama tinggi setiap pemain adalah faktor membantu kejayaan pasukan itu setakat ini. 

"Ini semua hasil usaha pemain yang bekerja keras untuk mencapai pencapaian memberangsangkan walaupun menghadapi tekanan kuat," katanya.   

Selepas kejayaan semalam, Bakar berkata tumpuan mereka kembali ke pertembungan suku akhir kedua menentang FELDA United FC di Stadium Shah Alam, Ahad ini. 

Katanya PKNP FC akan berusaha mempertahan kelebihan dua gol dimiliki hasil kemenangan 3-1 dikecapi di Stadium Tun Razak, Jengka Jumaat lalu. 

Berita Harian X