Isnin, 25 September 2017 | 7:48pm
PRESIDEN KAFA, Bibi Ramjani IIias Khan menyerah sampul surat kepada ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi sebagai simbolik penyerahan gaji pemain di padang latihan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu sebentar tadi. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Bibi Ramjani bayar tunggakan gaji pemain TRW

KOTA BHARU: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, sebentar tadi, menunaikan janjinya untuk melunaskan tunggakan gaji pemain skuad The Red Warriors (TRW).

Majlis pembayaran tunggakan membabitkan bagi gaji bagi bulan Julai dan Ogos tahun ini itu, diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini.

Bibi berkata menyelesaikan tunggakan gaji pemain adalah selaras dengan janjinya ketika dicalonkan sebagai presiden pada kongres pemilihan presiden KAFA, 17 September lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mendedahkan jumlah sebenar pembayaran, namun mengesahkan ia membabitkan jumlah yang besar.

"Hari ini segala urusan mengenai tunggakan gaji pemain sudah dilangsaikan...dan ia adalah tugasan saya untuk memastikan perkara itu selesai segera.

"Biarlah perkara itu (jumlah pembayaran) dirahsiakan... yang pasti jumlahnya besar," katanya selepas majlis itu.

"Besar harapan saya untuk melihat pasukan ini kekal Liga Super musim 2018 dan perkara itu boleh tercapai dengan kemenangan ketika berdepan PKNS FC, Rabu ini,"

Mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh bekas presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, berhubung cadangan pertukaran nama TRW, Bibi Ramjani berkata perkara itu sepatutnya tidak diperbesarkan.

"Saya mahu menegaskan perkara itu belum lagi KAFA fikirkan...saya harap media tidak tanya lagi selepas ini mengenai perkara itu.

"Fokus kita sekarang adalah mahu TRW kekal dalam Liga Super... saya hanya seminggu baharu jadi presiden tiada masa lagi untuk fikir soal tukar nama pasukan," katanya.

TRW yang turun selaku tuan rumah pada Rabu ini berdepan PKNS FC bagi baki saingan Liga Super musim 2017 yang bakal melabuhkan tirai bulan depan.

Selepas perlawanan menentang PKNS FC, pasukan Kelantan akan bertandang ke Stadium Hang Jebat bagi perlawanan terakhir musim ini menentang Melaka United (MU).

Berita Harian X