Selasa, 26 September 2017 | 6:34pm
BEBERAPA pesawat pengebom, US Air Force B-1B Lancer terbang di ruang udara berhampiran kawasan perairan Korea Utara, Ahad lalu. Khamis ini skuad Harimau Malaya bakal berdepan Korea Utara bagi Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) - Foto AFP

Adakah Pyongyang selamat?

KUALA LUMPUR: Hubungan tegang sepanjang minggu ini antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilihat makin panas apabila masing-masing mengakui bersedia untuk melancarkan perang.

Menerusi laporan media antarabangsa, The New York Times, Menteri Luar Korea Utara, Ri Yong-ho mendakwa, pelancaran peluru berpandu oleh negaranya ke AS mungkin tidak dapat dielakkan lagi ketika ini.

Kenyataan Yong-ho itu dibuat beberapa jam selepas pesawat pengebom, US Air Force B-1B Lancer terbang di ruang udara berhampiran kawasan perairan Korea Utara, Ahad lalu.

Menambahkan lagi ketegangan, Yong-ho turut mengkritik Trump cuba menjadikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai 'sarang' kepada kumpulan gengster.

Dalam pada itu, Trump menerusi akaun Twitter miliknya memberi amaran bahawa Yong-ho dan Jong-un 'tidak akan kekal lama' jika Menteri Luar Korea Utara itu berpendirian seperti Jong-un, yang dirujuknya sebagai 'Little Rocket Man'.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada status Trump itu hanya merujuk kepada Yong-ho dan Jong-un atau Korea Utara secara keseluruhannya.

Justeru, menerusi perkembangan tidak menentu itu, timbul kebimbangan mengenai tahap keselamatan skuad Harimau Malaya kendalian Nelo Vingada yang dijadualkan menentang Korea Utara di Pyongyang, Khamis depan.

Persoalannya adakah aksi ketiga Kumpulan B bagi Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu akan diteruskan, meskipun wujud ancaman serius dari AS yang mahu menyerang republik itu.

Usaha untuk mendapatkan penjelasan AFC dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai situasi terkini di Pyongyang itu gagal apabila masing-masing enggan mengulas.

Bagaimanapun, berdasarkan keputusan sebelum ini, kedua-dua badan induk berkenaan tetap berkeras untuk meneruskan aksi itu dan sebarang perubahan hanya akan berlaku jika wujud isu keselamatan serius dalam tempoh waktu sehingga tarikh perlawanan.

Berita Harian X