Rabu, 27 September 2017 | 11:34pm
PEMAIN Melaka United, Marco Simic (tengah) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Hang Jebat, Krubong. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Melaka Utd kekal di Liga Super 2018

MELAKA: Perjuangan Melaka United (MU) untuk kekal di Liga Super 2018 berjaya apabila menewaskan Selangor 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Kemenangan itu menamatkan kebimbangan skuad Hang Tuah daripada terjerumus ke Liga Perdana selepas berhempas pulas bersaing menerusi aksi tidak menjadi pada awal liga.

Skuad bimbingan jurulatih Almeida Eduardo bertindak pantas melakukan asakan untuk mencari jaringan hasil percubaan pertama menerusi tandukan Jasmin Mecinovic hantaran Felipe de Souza pada minit ke-5 gagal diselamatkan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid untuk gol pertama MU.

Selangor bagaimanapun turut melakukan percubaan ke gawang MU seawal minit ke-2 namun gagal menuju ke sasaran selepas rembatan import Indonesia, Andik Vermansyah tersasar ke kiri gawang.

Peluang menambah jaringan hadir buat penyerang Croatia, Marko Simic pada minit ke-8 dan seminit selepas itu namun tolakannya berjaya diselamatkan Khairul Azhan.

The Red Giants yang terkejut dengan jaringan pendahuluan tuan rumah cuba mencari jaringan namun percubaan Rufino Segovia pada minit ke-33 melepasi palang gol.

Kehadiran kira kira 3,000 penyokong setia dalam hujan renyai nyata menyuntik motivasi pemain MU untuk bertindak cemerlang sehingga gawang pelawat bocor lagi pada minit ke-42 selepas Simic berjaya mencetak gol kedua tuan rumah untuk ceria di depan.

Babak kedua Selangor menggandakan asakan ke gawang MU dengan hasilnya Segovia merembat cantik gol pertama pelawat pada minit ke-57 untuk merapatkan jurang jaringan.

Simic yang menjadi sasaran hantaran rakannya hampir menambah jaringan ketiga buat MU namun tandukannya di tepis Azhan pada minit ke-81.

Tiga mata terbabit cukup buat MU untuk mengelak dari penyingkiran ke Liga Perdana tanpa perlu menunggu keputusan terakhir liga berdepan Kelantan Oktober depan di gelanggang sama.

Kegirangan Almeida nyata terserlah selepas dia yang hadir menggantikan Eric Williams pada pertengahan musim mampu memenuhi tanggungjawab yang diletakkan di bahunya untuk memastikan pasukan MU kekal di Liga Super.

Berita Harian X