Khamis, 28 September 2017 | 11:44am
PEMAIN Sarawak, Mateo Roskam (no 9) mengasak kubu Kedah dalam aksi Liga Super menentang Kedah di Stadium Negeri, Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Derita 12 minit dilibas Bujang Senang

PETRA JAYA: Jaringan pantas tuan rumah disifatkan antara faktor skuad Kedah hilang fokus sebelum akur apabila tewas kepada Sarawak 4-2, pada aksi Liga Super di Kuching, malam tadi.

Pengendali Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof mengakui skuad bimbingannya tertekan selepas dikejutkan dengan kebangkitan skuad Bujang Senang dalam tempoh 12 minit.

Meskipun memiliki kelebihan apabila mendahului tuan rumah 2-0, menerusi jaringan Ken Ilso Larsen dan Baddrol Bakhtiar, namun ia sekadar bertahan sehingga tamat babak pertama.

"Pada awalnya kita bermain dengan baik, malah mampu menguasai perlawanan yang berjaya menghasil dua jaringan untuk mendahului Sarawak.

"Bersambung separuh masa kedua, kita dikejutkan dengan kebangkitan Sarawak dalam masa 12 minit mereka menjaring tiga gol (3-2)," katanya.

Susulan itu, Nidzam mengakui pasukannya mula hilang fokus walaupun mereka mencuba untuk mengimbangi saingan.

Lebih tertekan, apabila Kedah terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Baddrol dilayangkan kad merah kerana mengasari Nur Shamie Iszuan Amin.

Mengulas insiden itu, Nidzam berkata ia menyukarkan lagi usaha skuad Helang Merah mengejar momentum bagi memburu gol penyamaan.

"Bermain dengan 10 pemain agak sukar bagi kita untuk dapatkan semula momentum, dan mereka (Sarawak) bijak menggunakan peluang itu untuk menjaringkan gol keempat.

"Apa pun pemain Kedah sudah memberi aksi yang terbaik tetapi kita akur dengan Sarawak," katanya.

Dengan kekalahan itu, Kedah kekal di tangga ketiga Liga Super dengan 34 mata.

Berita Harian X