Ahad, 1 Oktober 2017 | 9:11am
PENYERANG Paris Saint-Germain, Neymar (tengah) meraikan gol jaringannya bersama pemain pertahanan Presnel Kimpembe (kanan) dan Marquinhos ketika menentang Bordeaux di Stadium Parc des Princes, malam tadi. - Foto AFP/Franck Fife

Neymar cetus pesta gol PSG

PARIS: Neymar menjaringkan dua gol, termasuk penalti pada babak pertama, dan mencipta gerakan kepada satu lagi gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) mengalahkan Bordeaux 6-2 dalam saingan Ligue 1, awal pagi tadi.

Pemain Brazil itu membuka tirai jaringan hasil satu sepakan lencong menarik, hanya lima minit selepas permainan di Parc des Princes sebelum mengumpan bola untuk Edinson Cavani menggandakan jaringan, tujuh minit kemudian.


NEYMAR (kanan) cuba dihalang penyerang Bordeaux, Nicolas De Preville pada aksi Ligue 1 di Stadium Parc des Princes, malam tadi. - Foto AFP PHOTO/Christopher Simon

Thomas Meunier menjadikan kedudukan 3-0 buat PSG pada minit ke-21 tetapi Bordeaux merapatkan jurang menerusi Younousse Sankhare selepas setengah jam permainan.

PSG kemudian dianugerahkan penalti buat kali pertama selepas perbalahan antara Neymar dan Cavani kerana berebut untuk mengambil sepakan penalti ketika mereka menang 2-0 ke atas Lyon, tetapi kali ini ia disempurnakan oleh Neymar.

"Bagi saya, perkara penting mengenai penalti adalah untuk menjaringkan gol," kata jurulatih PSG, Unai Emery.

"Perkara utama adalah mereka berdua melihat peluang dan kedua-duanya boleh melakukan sepakan penalti. Keputusan di tangan mereka berdua. Kami sudah bercakap mengenainya secara dalaman."


PENYERANG PSG, Kylian M'Bappe (kanan) meledak gol keenam gagal diselamatkan oleh penjaga gol Bordeaux, Benoit Costil di Stadium Parc des Princes, malam tadi. - Foto AFP/Franck Fife

Julian Draxler meneruskan kenduri gol PSG menerusi satu rembatan voli sebelum rehat dan Kylian Mbappe menambah satu jaringan lagi pada minit ke-58 sebelum Malcom meledak gol lewat untuk Bordeaux.

Kemenangan itu menyaksikan PSG menjarakkan kedudukan kepada tiga mata di depan juara bertahan, Monaco di puncak liga.

"Ia adalah kemenangan yang baik untuk pasukan yang masih belum tewas," kata Mbappe. "Kami tidak perlu menghantar mesej, kami hanya menumpukan perhatian kepada pasukan sendiri." - AFP

Berita Harian X