Rabu, 4 Oktober 2017 | 7:41am
PENYERANG Chelsea dari Sepanyol, Alvaro Morata harap kecederaan hamstring pulih sebelum menentang Crystal Palace. - Foto EPA-EFE

Morata mahu pulih sebelum jumpa Crystal Palace

LONDON: Penyerang Chelsea, Alvaro Morata mensasarkan untuk kembali secepat mungkin daripada kecederaan hamstring yang memaksanya menarik diri daripada kelayakan Piala Dunia buat Sepanyol.

Morata cedera di babak pertama dalam kekalahan 1-0 Chelsea di tangan Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu yang menjaringkan tujuh gol dalam sembilan penampilan sejak menyertai Chelsea pada penamat musim, menyertai skuad Sepanyol sebelum kelayakan Piala Dunia menentang Albania dan Israel.

Namun dia menarik diri daripada tugasan antarabangsa selepas ujian imbasan MRI menunjukkan "kecederaan otot hamstring gred dua."

Dibimbangi Morata mungkin akan diketepikan sehingga sebulan, Chelsea berharap dia boleh beraksi lebih cepat dan bekas bintang Real Madrid itu sedang menjalani ujian lanjut serta proses pemulihan.

Semalam Morata mengeluarkan kenyataan dalam media sosial dan gambarnya memakai pakaian latihan Chelsea menjelang pertemuan dengan Crystal Palace, pasukan yang akan ditentang juara bertahan itu pada 14 Oktober.

"Saya tiada masa! Bekerja keras untuk pemulihan! Crystal Palace," katanya di Twitter. - AFP

Berita Harian X