Jumaat, 20 Oktober 2017 | 12:01pm
PERTAHANAN Chelsea, Cesar Azpilicueta menyimpulkan bahawa 'emosi' skuad The Blues ketika ini sebagai tidak bagus. - Foto AFP

Chelsea idam kebangkitan di Watford

LONDON: Chelsea yang dipalit krisis kecederaan bersedia untuk mengehidupkan kembali kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika bertemu Watford, malam esok.

Anak buah Antonio Conte itu gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir - tewas mengejut 2-1 di tangan Crystal Palace di laman sendiri minggu lalu sebelum seri 3-3 bertemu Roma pada aksi Liga Juara Juara, kelmarin.

Victor Moses, N'Golo Kante dan Danny Drinkwater semuanya diketepikan akibat kecederaan sementara David Luiz serta Tiemoue Bakayoko pula belum pasti dapat diturunkan untuk aksi liga itu.

Ini sekaligus meninggalkan Cesc Fabregas sebagai satu-satunya pemain tengah yang boleh beraksi dan pertahanan The Blues, Cesar Azpilicueta menyimpulkan bahawa 'emosi' skuad itu ketika ini sebagai tidak bagus.


PEMAIN AS Roma, Maxime Gonalons diasak pemain Chelsea, Cesc Fabregas (kanan) pada aksi Liga Juara-Juara yang berkesudahan seri 3-3 di Stamford Bridge. - Foto AFP

"Permainan berpihak kepada kami ketika kami mendahului 2-0 namun kami hampir tewas apabila ketinggalan 3-2," kata pemain kelahiran Sepanyol itu.

"Ini bukanlah detik terbaik kami buat masa ini. Kami beraksi selepas dua kekalahan berturut-turut dalam aksi EPL.

"Untuk beraksi dengan suasana sebegitu dan meraih satu mata adalah satu kejayaan besar buat pasukan. Kami menunjukkan karakter untuk tidak berputus asa.

"Namun, realitinya adalah kami tidak menang dalam tiga perlawanan terakhir dan kami akan cuba mencetak kemenangan pada aksi Sabtu ini (esok). - AFP

Berita Harian X