Isnin, 30 Oktober 2017 | 6:43pm
PEMAIN Chelsea, Eden Hazard (kiri) diasak pemain Bournemouth, Andrew Surman pada aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin. - Foto REUTERS

Hazard ketepikan isu kecederaan temu Roma

LONDON: Eden Hazard yakin dia mampu mengatasi kebimbangan mengenai kecederaannya ketika bersedia membantu Chelsea meneruskan rentak kemenangan dalam kunjungan ke Roma bagi kempen Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini.

Juara Inggeris itu menamatkan deretan keputusan mengecewakan dengan kemenangan dalam aksi Piala Liga ke atas Everton, susulan kemenangan ke atas Watford dan Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Hazard yang baru pulih daripada kecederaan buku lali bulan lalu, berharap pasukannya dapat meneruskan momentum susulan kemenangan itu.

"Ya sudah tentu. Saya berlatih dengan gigih dan kecederaan adalah perkara yang sudah berlalu. Saya bersedia sepenuhnya bagi aksi berikutnya, saya hanya mahu bermain," kata perancang itu dalam laman web kelabnya (www.chelseafc.com).

"Minggu yang besar sedang menanti, jadi adalah penting supaya keyakinan kekal di tahap yang tinggi. Ketika ini, kami penuh dengan keyakinan menghadapi dua aksi besar Liga Juara-Juara dan EPL.

"Kami bersedia untuk mengharungi kedua-duanya," kata bintang Belgium ini.

Selepas aksi Liga Juara-Juara, Chelsea yang ketika ini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Manchester City dan menghuni tangga keempat akan dijadual bertemu Manchester United pada Sabtu ini. - REUTERS

Berita Harian X