Rabu, 1 November 2017 | 1:36pm
PEMAIN PDRM, Shahurain Abu Samah (kiri) ketika beraksi pada Liga Perdana 2017 di Stadium UiTM Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PEMAIN PDRM, Shahurain Abu Samah (kiri) ketika beraksi pada Liga Perdana 2017 di Stadium UiTM Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Shahurain dilamar dua pasukan

SEREMBAN: Pemain sayap kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Shahurain Abu Samah, belum membuat keputusan sama ada untuk terus kekal dalam pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, susulan menerima tawaran daripada dua pasukan lain dalam kelompok Liga Perdana.

Pemain berpengalaman berusia 30 tahun itu berkata, kontraknya bersama PDRM masih ada setahun lagi, namun tawaran dua pasukan dari Liga Perdana itu membuatkan dia berada dalam dilema.

"Sukar juga untuk membuat keputusan selepas menerima dua tawaran dari pasukan Liga Perdana kerana saya sudah serasi dengan pasukan asal (PDRM), malah selesa dengan corak latihan dikendalikan ketua jurulatih, Mohd Fauzi Pilus," kata Shahurain yang meledak empat gol sepanjang musim ini.

"Walaupun ia (tawaran) masih dalam perbincangan, ia suatu peluang. Apa pun kedudukan sebenar belum ditentukan lagi kerana pengurusan PDRM sendiri belum membuat apa-apa keputusan daripada segi kedudukan pemain bagi persiapan menghadapi saingan musim depan.

"Tambahan pula, saya masih mempunyai kontrak setahun lagi dengan pasukan PDRM."

SHAHURAIN Abu Samah ketika bersama PKNS FC pada 2016. - Foto Osman Adnan
SHAHURAIN Abu Samah ketika bersama PKNS FC pada 2016. - Foto Osman Adnan

Shahurain antara tonggak penting yang membantu Negeri Sembilan menjulang trofi Piala Malaysia pada tahun 2009 dan 2011, sebelum dia beralih arah ke FELDA United FC dan PKNS FC.

Menurut pemain kelahiran Kajang, Selangor itu, dia berpuas hati dengan sumbangannya sepanjang bersama dengan PDRM musim ini apabila berjaya mengekalkan pasukan itu dalam liga.

"Walaupun sekadar membantu pasukan menamatkan saingan Liga Perdana musim 2017 di tangga kelapan, ia tetap membanggakan kerana apa yang penting pasukan terus kekal dalam liga.

"Saya perlu terus kekalkan prestasi terbaik bagi menjamin tempat dalam pasukan ketika ramai pemain muda yang mula menunjukkan kemampuan dalam persembahan.

"Saya mahu terus memberikan sumbangan terbaik kepada mana-mana pasukan yang saya wakili," katanya.

Berita Harian X