Rabu, 1 November 2017 | 11:47pm
KETUA jurulatih Kedah, Ramon Marcote (tengah) bersama pemain akan hadir ke Majlis Ramah Mesra Skuad Lang Merah di Karnival GO 4.0 Langkawi di Dataran Parkir Kereta LADA, Kuah Langkawi antara jam 2 petang hingga 4 petang  esok. - Foto Hairul Anuar Rahim

Skuad Lang Merah temui peminat di Langkawi

 

ALOR SETAR: Skuad Kedah kendalian ketua jurulatih Ramon Marcote akan berkampung selama tiga hari di Pulau Langkawi pada musim cuti Tahun Baru Cina menerusi program khas siri jelajah bersama komuniti bolasepak pulau peranginan itu bermula hari ini.

Pemain Kedah akan hadir ke Majlis Ramah Mesra Skuad Lang Merah di Karnival GO 4.0 Langkawi di Dataran Parkir Kereta LADA, Kuah Langkawi antara jam 2 petang hingga 4 petang  esok. 

 

Karnival berkenaan dianjurkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). 

 

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam satu kenyataan berkata, skuad Lang Merah akan mengadakan sesi latihan di Stadium LADA Langkawi pada sebelah malam sepanjang berada di pulau peranginan itu.

 

Menurut Marcote, kesempatan dan persiapan latihan di Langkawi akan diambil sebaik mungkin bagi meningkatkan lagi prestasi keseluruhan pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam pada 25 Februari ini dan Negeri Sembilan untuk saingan Piala FA  pada 2 Mac nanti.

 

"Persiapan penting dalam usaha memburu tiga mata dalam perlawanan seterusnya  dan menjadi keazaman buat semua pemain  selepas pasukan berjaya memungut tiga mata pada perlawanan ketiga sewaktu menentang PKNP FC Ahad lalu."

 

Beliau juga berharap pemain yang mengalami kecederaan dapat pulih dan menyertai semula   pasukan dalam perlawanan akan datang. 

 

Ujarnya, selepas mencipta kemenangan pertama musim ini , motivasi dan semangat pemain semakin meningkat dan ia mampu menjadi pendorong untuk terus bangkit. 

 

Kedah setakat ini mengumpul tiga mata menerusi kemenangan 1-0 sewaktu menentang PKNP FC.

 

Sebelum itu Kedah tewas dua kali dalam aksi bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan keputusan 1-2 dan Perak yang berkesudahan 1-3.

Berita Harian X