Jumaat, 3 November 2017 | 12:54am
PENGURUS skuad Perancis, Didier Deschamps (kanan) memanggil semula pemain Manchester United, Anthony Martial bagi perkuat jentera serangan skuad Les Bleus. - Foto AGENSI

Martial dapat kepercayaan Deschamps

PARIS: Penyerang Manchester United, Anthony Martial mendapat ganjaran di atas jaringan kemenangan yang terhasil ketika berdepan Tottenham Hotspur, Sabtu lalu apabila disenaraikan Didier Deschamps ke dalam skuad Perancis.

Ia panggilan pertama Martial pada tahun ini selepas menjaringkan enam gol dalam semua pertandingan biarpun berkongsi peranan sebagai sayap kiri di Old Trafford bersama Marcus Rashford.

"Dia masih efektif.

Dia tidak bersama untuk lima atau enam aksi terakhir tetapi sebelum ini dia pernah bersama kami termasuk di Euro," kata Deschamps mengenai pemain berusia 21 tahun itu.

"Dia melalui detik sukar tetapi kembali menemui prestasi sebenar.

Saya lihat dia beraksi baik apabila dimasukkan dari bangku simpanan tetapi tidak semestinya saya akan letakkan dia sebagai pemain simpanan."

Sepanjang 15 penampilan buat Perancis, Martial hanya berupaya meledak satu gol.

Penyerang Lyon, Nabil Fekir turut dipanggil kali ini manakala perancang tengah Steven N'Zonzi dan Benjamin Pavard (pertahanan) dibawa masuk kali pertama.

Bagaimanapun, Deschamps akan turun mempersiapkan pasukannya bagi aksi persahabatan menentang Wales pada 10 November ini dan Jerman empat hari kemudian tanpa beberapa pemain bintang utama.

Penjaga gol Tottenham Hotspur Hugo Lloris, N'Golo Kante (Chelsea), Dimitri Payet (Marseille), Djibril Sidibe dan Thomas Lemar dari Monaco bakal terlepas aksi akibat masalah kecederaan.

Selain itu, Deschamps juga terpaksa melupakan khidmat arkitek tengah Manchester United Paul Pogba, Benjamin Mendy (Manchester City dan penyerang berbakat Barcelona Ousmane Dembele. - AFP

Skuad Perancis

Penjaga gol:

Alphonse Areola (PSG), Benoit Costil (Bordeaux), Steve Mandanda (Marseille)

Pertahanan:

Lucas Digne (Barcelona), Christophe Jallet (Nice), Presnel Kimpembe (PSG), Laurent Koscielny (Arsenal), Layvin Kurzawa (PSG), Benjamin Pavard (Stuttgart), Samuel Umtiti (Barcelona), Raphael Varane (Real Madrid)

Tengah:

Blaise Matuidi (Juventus), Steven N'Zonzi (Sevilla), Adrien Rabiot (PSG), Moussa Sissoko (Tottenham), Corentin Tolisso (Bayern Munich)

Penyerang:

Kingsley Coman (Bayern Munich), Nabil Fekir (Lyon), Olivier Giroud (Arsenal), Antoine Griezmann (Atletico Madrid), Alexandre Lacazette (Arsenal), Anthony Martial (Man Utd), Kylian Mbappe (PSG), Florian Thauvin (Marseille)

Berita Harian X