Isnin, 6 November 2017 | 2:19am
PEMAIN dan pegawai JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Malaysia 2017 selepas menewaskan Kedah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PEMAIN dan pegawai JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Malaysia 2017 selepas menewaskan Kedah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PASUKAN JDT turut melakar sejarah merangkul gelaran Liga Super buat kali keempat berturut-turut. - Foto Hairul Anuar Rahim
PASUKAN JDT turut melakar sejarah merangkul gelaran Liga Super buat kali keempat berturut-turut. - Foto Hairul Anuar Rahim

Kejayaan JDT penutup musim gemilang

KUALA LUMPUR: Musim 2017 Liga Malaysia (Liga-M) menjadi detik gemilang buat Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila melakar sejarah merangkul gelaran Liga Super buat kali keempat berturut-turut dan Piala Malaysia yang tidak pernah didakap sejak penubuhan kelab itu empat tahun lalu.

Kemenangan 2-0 ke atas juara bertahan Kedah pada final di Stadium Shah Alam malam tadi memastikan penutup Liga-M cukup bergaya buat Harimau Selatan yang memulakan langkah sumbang di awal musim apabila kecundang kepada lawan sama dalam Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun Kedah yang dibimbing Nidzam Adzha Yusoff pada pertengahan musim susulan keputusan mengejut Tan Cheng Hoe menerima tawaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya masih boleh berbangga dengan pencapaian musim ini.

Trofi Piala FA menjadi milik skuad Helang Merah selepas menewaskan Pahang 3-2 di final Mei lalu membolehkan mereka mengiringi JDT ke saingan Piala AFC musim depan selepas kali terakhir berentap di pentas antarabangsa pada 2008.

PEMAIN Kedah meraikan kejayaan menjulang Piala FA selepas menewaskan Pahang. - Foto Osman Adnan
PEMAIN Kedah meraikan kejayaan menjulang Piala FA selepas menewaskan Pahang. - Foto Osman Adnan

Bagaimanapun seperti tahun sebelum ini, kancah bola sepak tempatan tidak sunyi dengan kontroversi termasuk isu pemotongan enam mata kepada dua pasukan Liga Super, Kelantan dan T-Team serta dua pasukan Liga Perdana, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gara-gara gagal melengkapkan pendaftaran pasukan.

Biarpun pentadbir Liga-M, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) meringankan hukuman itu dengan memulangkan semula tiga mata namun ia hampir meragut peluang Kelantan dan T-Team kekal dalam Liga Super tahun depan apabila menduduki tangga kesembilan dan 10.

Malang buat Pulau Pinang yang terhumban ke Liga Perdana selepas hanya semusim bersaing dengan pasukan elit apabila hanya meraih tiga kemenangan daripada 22 perlawanan manakala Sarawak gagal menyelamatkan diri apabila hanya seri 0-0 dengan T-Team pada aksi terakhir Liga.

PASUKAN Kuala Lumpur meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana 2017 untuk menyertai saingan Liga Super 2018. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PASUKAN Kuala Lumpur meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana 2017 untuk menyertai saingan Liga Super 2018. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Mengisi tempat Sarawak dan Pulau Pinang itu, juara Liga Perdana, Kuala Lumpur dan naib juara Terengganu yang kembali dinaikkan taraf ke Liga Super.

Bagaimanapun di sebalik peningkatan saingan Liga Perdana itu agak menyedihkan apabila isu rasuah masih lagi menghantui bola sepak tempatan.

Ini susulan penahanan tiga pemain MISC-MIFA oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan rasuah hingga mencecah RM30,000.

Selain itu isu mutu pengadilan terus menjadi bualan hangat peminat bola sepak tempatan yang menuntut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FMLLP supaya mencari jalan untuk mengatasinya.

Beberapa insiden kontroversi dalam perlawanan berprofil tinggi termasuk jaringan pemain Perak, Zaquan Adha Radzak yang dibatalkan oleh pengadil pada separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang JDT mencetuskan kecaman hebat penyokong.

Mungkin FAM perlu mempercepatkan lagi penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR) yang dijangka dilaksanakan pada 2019 bagi mengelak persepsi penyokong dan pemain sendiri bertambah buruk.

SENARAI JUARA 2017

Liga Super: JDT

Piala Malaysia: JDT

Piala FA: Kedah

Piala Sultan Ahmad Shah: Kedah

Liga Perdana: Kuala Lumpur

Piala FAM: Sime Darby

Juara Piala Presiden: Selangor B-21

Juara Piala Belia: Kedah B-19

Penjaring terbanyak Liga Super: Mohammed Ghaddar, JDT (23 gol)

Berita Harian X