Selasa, 7 November 2017 | 6:30am

Ketua pengadil sistem VAR kena pecat

BERLIN: Peminat bola sepak mahu ketua pengadil yang menguji sistem video bantuan pengadil (VAR) untuk diguna pakai di Jerman dipecat selepas dituduh terbabit dalam skandal mempengaruhi keputusan perlawanan liga negara itu.

Sistem VAR kini sedang diuji dan bakal diguna pakai musim ini di Itali dan Jerman dan menunggu keputusan rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sama ada menggunakannya pada temasya Piala Dunia Russia 2018.

Ketika diuji di Jerman, sistem VAR mencetuskan kontroversi dan debat hangat di Cologne - yang menjadi pusat penilaian sistem itu dengan dakwaan banyak berkisar kepada kelemahan sistem berkenaan hingga mendorong pengadil membuat keputusan salah.

Peminat bola sepak di Jerman membantah penggunaannya dan mahu ia dibatalkan serta merta.

Semalam, akhbar sukan Kicker menerbitkan berita dengan tajuk "Only Losers: Irritation, sanctions, wrong decisions" pada halaman utamanya dengan gambar hiasan seorang pengadil melayangkan kad merah.

Sistem VAR itu mencetus tuduhan meluas membabitkan Hellmut Krug, yang menjalankan ujian sistem itu.

Akhbar Bild pula mendakwa Krug dua kali membuat keputusan penalti yang menyebelahi Schalke, ketika pasukan itu terikat 1-1 dengan Wolfsburg minggu lalu.

Kes bantahan terbaru membabitkan keputusan seri 3-3 antara Wolfsburg dan Hertha Berlin Ahad lalu yang dijadikan contoh terbaik kegagalan sistem itu apabila dua gol separuh masa pertama Wolfsburg dibatalkan oleh VAR sekali gus mencetus kemarahan penyokongnya.

"Banyak kesilapan berlaku dalam perlawanan itu disebabkan penggunaan VAR," kata jurulatih Hertha, Pal Dardai.

Bekas pemain antarabangsa Jerman, Stefan Effenberg berkata Bundesliga wajar mencontohi pengadilan dalam Liga Bola Sepak Amerika (American Football) yang tidak membelakangkan peminatnya.

"Liga NFL wajar dijadikan ikutan. Musim depan pengadil tanpa mengira apa jua situasi perlu merujuk sesuatu keputusan terus kepada penonton.

"Ia mungkin mengambil masa lima saat untuk menenangkan 70,000 penonton yang hadir di stadium," kata Effenberg. - AFP

Berita Harian X