Jumaat, 17 November 2017 | 11:04pm
PASUKAN T-Team FC menunggu kata putus daripada kerajaan negeri mengenai status pasukan itu yang dikatakan akan bermain di Liga Perdana musim depan. - Foto Ghazali Kori
PASUKAN T-Team FC menunggu kata putus daripada kerajaan negeri mengenai status pasukan itu yang dikatakan akan bermain di Liga Perdana musim depan. - Foto Ghazali Kori

Lima hari penentu nasib T-Team

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri memiliki tempoh lima hari untuk memutuskan status pasukan T-Team sama ada kekal bermain di Liga Super atau diturunkan ke Liga Perdana musim depan.

Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bersetuju melanjutkan tempoh kepada T-Team menyelesaikan status mereka sehingga Rabu ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman facebook rasmi T-Team, pihaknya menghantar permohonan kepada FMLLP supaya tarikh menghantar borang pengesahan pasukan bermain di Liga Super dilanjutkan.

Permohonan itu dibuat kerana T-Team menunggu kata putus daripada kerajaan negeri mengenai status pasukan itu yang dikatakan akan bermain di Liga Perdana musim depan.

"Hari ini pihak FMLLP memaklumkan bersetuju untuk meminda tarikh pengesahan pasukan khas bagi pihak T-Team kepada satu tarikh yang baru iaitu selewat-lewatnya 22 November 2017.

"Terima kasih diucapkan kepada pihak FMLLP atas pertimbangan yang diberikan untuk pihak kami," menurut kenyataan itu lagi.

Kemelut yang melanda selepas Timbalan Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail mengesahkan hanya satu pasukan dari Terengganu yang akan beraksi dalam saingan Liga Super manakala T-Team beraksi di Liga Perdana musim depan.

Perkara itu jelas mengundang rasa tidak puas hati dan kecewa dalam kalangan penyokong yang mahukan T-Team kekal bermain di Liga Super bersama Terengganu musim depan.

Rabu lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat pengurusan dan akan diputuskan oleh jawatankuasa PBSNT.

"Ini adalah cadangan pihak pengurusan PBSNT dan kita akan lihat dari pelbagai sudut malah ia hanya akan diputuskan pada akhir tahun ini," katanya.

Berita Harian X