Sabtu, 18 November 2017 | 11:57pm

Nasib FELDA United, T-Team masih samar

KUALA LUMPUR: Nasib FELDA United dan T-Team dalam kancah Liga Super masih belum diketahui selepas tempoh untuk mengesahkan penyertaan musim depan berakhir semalam.

FELDA United yang mengesahkan hasrat mereka untuk beraksi dalam saingan elit tahun depan namun, tidak mendapat kelulusan daripada First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM.

Manakala T-Team memohon penangguhan selepas kerajaan negeri menegaskan hanya sebuah pasukan dari negeri itu boleh beraksi di Liga Super berikutan kejayaan Terengganu meraih tiket ke Liga Super.

Juara Piala FAM, Sime Darby dan Kuantan turut memohon penangguhan bagi mengesahkan penyertaan di Liga Perdana.

Pengendali Liga-M, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) memberikan T-Team, Kuantan dan Sime Darby tempoh sehingga Rabu ini bagi mengesahkan penyertaan.

"Sejumlah 21 pasukan sudah mengesahkan penyertaan di Liga Super dan Perdana musim depan dengan T-Team, Kuantan dan Sime Darby memohon tarikh lanjutan," menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam hari ini.

"Kuantan dan Sime Darby mahukan masa untuk mendapat kebenaran yang diperlukan manakala T-Team tidak menyatakan sebarang alasan. Bagaimanapun kami memberikan tempoh sehingga 22 November bagi ketiga-tiga pasukan mengesahkan penyertaan."

Kevin menjelaskan dia sedar masalah dihadapi T-Team - yang berjaya melepasi zon penyingkiran pada hari terakhir musim 2017 - yang tertekan dengan situasi sama ada dibubarkan atau beraksi di Liga Perdana.

"T-Team tidak berkomunikasi dengan kami secara rasmi tentang isu ini," kata Kevin ketika ditanya mengenai kesukaran pasukan itu.

"Jika sesebuah pasukan gagal mengesahkan penyertaan, kami akan mencari jalan alternatif. Ini termasuk mencari pasukan yang hampir mendapat tiket Liga Super namun sebarang pertukaran hanya boleh dilakukan Lembaga Pengarah FMLLP."

FELDA United turut dalam situasi tidak menentu walaupun Kevin menjelaskan situasi kelab itu akan diselesaikan minggu depan.

"Situasi membabitkan FELDA akan diselesaikan secepat mungkin kerana kita perlu merangka jadual musim depan dan ia tidak boleh dilakukan sehingga semua pasukan mengesahkan penyertaan," katanya.

Selepas ini setiap pasukan perlu mengemukakan dokumen yang mengesahkan kedudukan kewangan membabitkan pemain, staf dan kelab yang perlu diserahkan menjelang 31 Disember.

Berita Harian X