Rabu, 29 November 2017 | 12:35am
PERTAHANAN tengah Chelsea, David Luiz sekali lagi digugurkan dari kesebelasan utama menjelang aksi menentang Swansea City, esok susulan kecederaan lutut yang dialaminya. - Foto REUTERS

Chelsea layan Swansea tanpa Luiz

LONDON: Pertahanan tengah Chelsea, David Luiz digugurkan bagi pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) melawan kelab bergelut Swansea City, esok susulan kecederaan lutut, kata pengurus, Antonio Conte.

Luiz sebelum ini turut disisihkan Chelsea dalam tiga perlawanan liga terakhir bertemu Manchester United, West Bromwich Albion dan Liverpool.

Conte berkata dia mungkin akan menyenarai pemain tengah, Victor Moses dalam kesebelasan utama apabila dia kembali cergas selepas tidak beraksi lebih daripada sebulan akibat kecederaan hamstring.

"Saya boleh beritahu kamu pemain mana yang tidak boleh bermain," kata Conte pada sidang media, hari ini. "Luiz kerana masalah lutut... Saya perlu jujur ketika ini kerana sukar saya untuk memberitahu kamu jawapannya (tempoh masa).

"Ia akan bergantung kepada doktor untuk menilainya dan mengambil keputusan yang terbaik."

Pemain tengah, Charly Musonda dan Kenedy juga tidak akan diturunkan manakala penyerang, Michy Batshuayi yang tidak bermain sejak penghujung Oktober sedang berusaha keras untuk cergas susulan kecederaan kaki.

Conte sentiasa menekankan keperluan untuk melakukan penggiliran pemain bagi mengharungi jadual padat musim sejuk dan berkata penting untuk semua pemainnya cergas jika berhasrat mengejar pendahulu, Manchester City.

City ketika ini memiliki kelebihan lapan mata di puncak liga di hadapan Manchester United dan 11 mata mengatasi Chelsea di tangga ketiga.

"Perkara paling utama bagi kami adalah supaya semua pemain kami boleh bermain. Saya fikir pada November, Disember dan juga Januari akan menjadi amat sibuk," kata Conte yang mengakui gelaran liga masih dalam jangkauan pasukannya. - REUTERS

Berita Harian X