Jumaat, 1 Disember 2017 | 9:04pm
PEMAIN Kelantan, Mohd Norhafiz Zamani Misbah kini mengintai beberapa pasukan baharu bagi mengharungi aksi Liga Malaysia, musim depan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Norhafiz intai pasukan baharu

SEREMBAN: Selepas kontraknya bersama Kelantan tidak dilanjutkan, pemain pertahanan berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah mengintai beberapa pasukan baharu bagi meneruskan hasratnya mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bekas pemain kebangsaan berusia 36 tahun itu mengakui semangatnya untuk meneruskan perjuangan dalam saingan liga bola sepak domestik masih membara.

"Biarpun hasrat untuk meneruskan khidmat dengan pasukan Kelantan bagi musim depan tidak kesampaian, semangat saya masih membara untuk terus beraksi dalam Liga M," kata pemain kelahiran Melaka itu.

"Tiada istilah untuk saya berehat atau bersara dalam kancah bola sepak tempatan berprestij ini kerana masih mampu memberikan persembahan dan sumbangan terbaik kepada mana-mana pasukan.

"Saya berharap dapat meneruskan perjuangan ini dengan pasukan baharu pada musim 2018, yang menjanjikan saingan lebih sengit dan mencabar dengan adanya penambahan kepada lima pemain import."

Norhafiz yang lebih mesra dengan panggilan Angah dalam kalangan pemain-pemain Kelantan, adalah antara tonggak berpengalaman yang dilahirkan menerusi Liga M.

Dia yang bersama skuad The Red Warriors (TRW) selama tiga musim itu juga antara pemain pertahanan yang dihormati dan disenangi oleh kebanyakan rakan-rakan dalam mana-mana pasukan disertainya kerana pengalaman dan karismanya yang tersendiri.

Bekas kapten Negeri Sembilan yang pernah membantu skuad Hobin Jang Hobin menjulang trofi Piala Malaysia pada tahun 2011 dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada tahun berikutnya, kini sedang meneliti tawaran pasukan baharu untuk musim 2018.

Menurut Norhafiz, tahap kecergasannya yang memuaskan serta bebas daripada sebarang kecederaan, menjadikan dirinya lebih yakin untuk menggalas tanggungjawab bersama pasukan baharu yang bakal disertainya.

"Ketika ini, saya bebas daripada sebarang kecederaan, malah ketika bersama Kelantan, adakalanya saya diturunkan sepanjang 90 minit permainan," katanya yang mengakui puas hati dengan sumbangan diberikan kepada pasukan itu apabila dapat membantu Kelantan terus kekal dalam kelompok Liga Super musim depan.

Norhafiz yang sebaris dengan reputasi kapten FELDA United FC, Mohd Shukor Adan, turut berpendapat kualiti saingan Liga-M sudah semakin meningkat.

"Banyak peningkatan yang dapat dilihat dalam liga kita berikutan beberapa perubahan dilakukan pihak pengurusan dan sokongan pelbagai pihak untuk memantapkan mutu bola sepak negara. Saya yakin dan percaya saingan musim 2018 nanti pasti menjanjikan cabaran lebih sengit bukan saja membabitkan saingan Liga Super tetapi juga Liga Perdana," katanya.

Berita Harian X