Ahad, 3 Disember 2017 | 1:47am
PERTAHANAN Watford, Adrian Mariappa (kiri) mencabar penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane (tengah) ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris di Vicarage Road, malam tadi. - Foto AFP
PERTAHANAN Watford, Adrian Mariappa (kiri) mencabar penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane (tengah) ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris di Vicarage Road, malam tadi. - Foto AFP

Spurs, Watford kongsi mata di Vicarage Road

WATFORD: Tottenham Hotspur terus mengharungi laluan berliku dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mencatat keputusan seri 1-1 dengan Watford, malam tadi.

Begitupun, kelab utara London itu boleh dianggap bernasib baik untuk berkongsi satu mata apabila terpaksa beraksi kurang seorang pemain pada awal babak kedua aksi di laman lawan, Vicarage Road itu.

Pertahanan tengah Spurs, Davinson Sanchez diarah keluar pada minit ke-52 perlawanan selepas menyiku pemain sayap Watford, Richarlison, tindakan yang dianggap mencetus masalah buat pelawat.

Tandukan Christian Kabasele meletakkan Watford mendahului pada minit ke-13 berpunca daripada sepakan sudut Tom Cleverley.

Begitupun, Spurs pantas menyamakan kedudukan menerusi pemain Korea Selatan, Son Heung-min yang bijak memanfaatkan hantaran rendah Christian Eriksen pada minit ke-25.

Sementara itu, Leicester City terus menikmati peningkatan di bawah pengendali baharu, Claude Puel apabila menang 1-0 di laman sendiri ke atas Burnley dengan gol dijaringkan Demarai Gray.

Everton yang mendapat 'minda' baharu dengan kehadiran Sam Allardyce juga cemerlang selepas menewaskan Huddersfield Town 2-0 dengan Stoke City terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan Swansea City 2-1.

West Bromwich Albion dalam pada itu terpaksa berkongsi satu mata dengan Crystal Palace selepas perlawanan terikat 0-0. - AFP

Berita Harian X