Selasa, 5 Disember 2017 | 7:06pm
KELAB e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com) harap skuad Jang tampil lebih ramai pemain beribawa.

Penyokong harap NS tampil skuad mantap

SEREMBAN: Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com) berharap Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dapat menampilkan lebih ramai pemain berwibawa dalam membentuk skuad mantap bagi menghadapi cabaran saingan Liga Super musim depan.

Timbalan Presidennya, Mohamad Faidzul Mohd Noh berkata, pembentukan skuad mantap amat penting dalam memastikan Negeri Sembilan dapat memberikan cabaran lebih bermakna pada kempen liga utama itu seterusnya meraih pencapaian terbaik pada penghujung saingan.

Katanya, pengurusan pasukan skuad Hobin Jang Hobin harus memberikan tumpuan kepada usaha meletakkan pasukan selaku pesaing utama dan bukannya sebagai pelengkap jadual.

"Negeri Sembilan perlu bentuk pasukan yang lebih mantap kerana saingan Liga Super lebih sengit dan mencabar kerana bakal berdepan pasukan reputasi tinggi seperti Johor Darul Ta`zim, Kedah, Kelantan, Selangor dan Pahang. "Kami berharap Negeri Sembilan dapat memiliki keupayaan tinggi selaku pencabar utama sama ada dalam saingan Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia dan seterusnya menamatkan kempen dengan pencapaian gemilang.

"Apa yang lebih penting pasukan tidak menjadi skuad belasahan," katanya di sini, hari ini. Negeri Sembilan yang pernah menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada 2009 dan 2011 kembali dinaikkan pangkat ke saingan Liga Super musim 2018 selepas pengumuman oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), semalam.

Skuad bimbingan Mohd Asri Ninggal itu yang menamatkan saingan di tangga keempat carta Liga Perdana musim 2017 bakal beraksi di liga utama bola sepak domestik itu bersama PKNP FC.

Dalam pada itu, Mohamad Faidzul mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu memastikan Negeri Sembilan menjadi antara pencabar utama saingan Liga-M musim depan.

Menurutnya, pihaknya yakin dengan kepemimpinan Mohamad untuk melonjakkan kembali reputasi pasukan selepas beraksi selama empat tahun dalam Liga Perdana bermula 2014.

"Kami percaya dan yakin dengan kepemimpinan PBNS khasnya Presiden yang sudah mempunyai perancangan rapi terutama dari segi pemilihan pemain yang bakal membarisi pasukan itu untuk musim depan.

"Kami berharap Negeri Sembilan mampu kembali menjadi pasukan yang dihormati dan disegani dalam kancah liga tempatan seperti dicapai sebelum ini," katanya.

Berita Harian X