Jumaat, 8 Disember 2017 | 12:22pm
AKSI pemain tengah Chelsea berasal dari Brazil, Willian ketika menentang Atletico Madrid pada saingan Liga Juara-Juara di Stamford Bridge pada 5 Disember lalu. - Foto AFP

Chelsea perlu elak kesilapan

LONDON: Willian menyatakan Chelsea tidak boleh melakukan kesilapan lagi jika juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu mahu terus bersaing mengekalkan gelaran berkenaan apabila bertemu West Ham United, malam esok.

Skuad bimbingan Antonio Conte terlepas peluang menamatkan saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sebagai juara kumpulan apabila sekadar seri 1-1 dengan Atletico Madrid.

Kegagalan itu menyaksikan Blues kini berdepan risiko diundi menentang Barcelona atau Paris Saint-Germain bagi aksi pusingan kalah mati.

Conte bagaimanapun mahu pemainnya melupakan saingan di pentas Eropah itu yang hanya akan kembali bersambung pada Februari depan sebaliknya fokus untuk merapatkan jurang 11 mata dengan pendahulu liga, Manchester City.

Kunjungan ke Stadium London esok amat penting buat Chelsea dan kemenangan pastinya akan membolehkan mereka merapatkan jurang mata dengan City yang akan bertemu Manchester United, Ahad ini.

Dengan skuad bimbingan Pep Guardiola tidak menunjukkan tanda akan mengalami kemerosotan prestasi, Willian sedar tekanan kini dihadapi Chelsea yang tidak boleh keciciran mata.

"Kami perlu menang. Kami bermain di tempat lawan, sudah pasti ia akan menjadi perlawanan yang sukar namun saya fikir kami boleh meraih tiga mata," kata Willian.

Alvaro Morata akan memikul tanggungjawab untuk mengetuai jentera serangan Chelsea dan cuba mengekalkan rekod cemerlangnya yang menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan liga.

Morata, 25, berkata, dia tidak menyesal meninggalkan Real Madrid pada musim panas lalu dan memuji Conte kerana banyak membantu dirinya meningkatkan prestasi sebagai pemain.

"Antonio Conte membantu saya meningkatkan prestasi kerana saya tidak akan terlalu selesa atau berada di zon selesa. Beliau mahu semua pemain memberikan aksi maksimum.

"Tahun lalu, saya tidak banyak bermain. Kini, setiap perlawanan diberi peluang bermain - jika saya berlatih dengan baik, saya akan bermain," katanya. - AFP

Berita Harian X