Rabu, 13 Disember 2017 | 9:27am
PEMAIN Chelsea meraikan kejayaan menwaskan Huddersfield Town 3-1. - Foto AFP
PEMAIN Chelsea meraikan kejayaan menwaskan Huddersfield Town 3-1. - Foto AFP

Chelsea kembali ceriakan Conte

HUDDERSFIELD: Chelsea memberikan jawapan terbaik terhadap kenyataan pengendalinya, Antonio Conte yang menyifatkan pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah berakhir dengan kemenangan penuh meyakinkan 3-1 ke atas Huddersfield Town, awal pagi tadi.

Tiemoue Bakayoko membuka tirai jaringan seawal minit keenam perlawanan dengan penyudah menarik sekali gus menjawab kritikan susulan prestasi longlai yang ditampilkan olehnya sejak tiba dari Monaco, Julai lalu.

Willian menanduk masuk gol kedua, dua minit sebelum babak pertama berakhir dengan Pedro menjadikan kedudukan 3-0 pada babak kedua untuk meletakkan Chelsea kini berkongsi mata dengan pasukan tangga kedua, Manchester United yang dijadual bertemu Bournemouth di Old Trafford, awal pagi esok.

TIEMOUE Bakayoko menjaringkan gol pertama perlawanan ketika membantu Chelsea membenam Huddersfield, awal pagi tadi. -Foto AFP
TIEMOUE Bakayoko menjaringkan gol pertama perlawanan ketika membantu Chelsea membenam Huddersfield, awal pagi tadi. -Foto AFP

"Kemenangan yang baik," kata Conte kepada BT Sport.

"Sejak daripada awal kami mengharungi perlawanan yang baik."

Conte yang berubah watak menjadi lebih 'pemarah' musim ini mengakui yang skuad kendaliannya tidak berpeluang untuk mengejar pendahulu liga, Manchester City sejurus mereka tewas 0-1 kepada West Ham, minggu lalu.

Pengendali dari Itali itu merungut mengenai jadual padat dalam aksi liga Inggeris, kepenatan pemain dan kekurangan pelaburan oleh kelab itu bagi menguatkan pemain.

PEMAIN Chelsea, Willian (kiri) menewaskan penjaga gol Huddersfield untuk jaringkan gol kedua pasukan.. - Foto REUTERS
PEMAIN Chelsea, Willian (kiri) menewaskan penjaga gol Huddersfield untuk jaringkan gol kedua pasukan.. - Foto REUTERS

Dalam perlawanan keempat daripada sembilan perlawanan pada Disember, Conte tidak menurunkan penyerang utamanya, Alvaro Morata yang sudah meledak 10 gol musim ini susulan kecederaan belakang dengan jentera serangan dikemudi oleh Eden Hazard bersama Willian dan Pedro.

Dia turut meletakkan kapten, Gary Cahill dan perancang Cesc Fabregas berada di bangku simpanan.

Reaksi pengurus Chelsea, Antonio Conte selepas pasukannya mencatat kemenangan ke atas Huddersfield, awal pagi tadi. - Foto Reuters
Reaksi pengurus Chelsea, Antonio Conte selepas pasukannya mencatat kemenangan ke atas Huddersfield, awal pagi tadi. - Foto Reuters

"Saya sudah memutuskan bagi mencari penyelesaian," kata Conte. "Ini bukan kali pertama kami bermain dengan tiga pemain ini, Hazard, Willian, Pedro. Saya fikir mereka amat bagus secara teknikal. Mereka amat pantas."

Ketika pelawat tampak akan meraih kemenangan tanpa bolos, Huddersfield memperoleh jaringan sagu hati pada masa kecederaan apabila Laurent Depoitre menanduk masuk hantaran pemain gantian Florent Hadergjonaj untuk menewaskan Thibaut Courtois. - AFP

Berita Harian X