Rabu, 20 Disember 2017 | 12:52pm
SYAZWAN Zaipol Bahari kembali ke pasukan Perak selepas semusim dipinjamkan kepada PKNP FC. - Foto Osman Adnan

Syazwan sudah sedia pikat Durakovic

IPOH: Syazwan Zaipol Bahari gembira diterima kembali ke dalam pasukan Perak untuk menghadapi kempen Liga M musim 2018, selepas semusim dipinjamkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.

Justeru, pemain pertahanan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara itu bertekad memberikan persembahan terbaiknya kepada skuad The Bos Gaurus.

"Pengalaman yang ditimba ketika bersama PKNP FC akan saya guna untuk membantu Perak untuk menjulang kejayaan," kata pemain berasal dari Ampang, Ipoh itu.

Syazwan berkata tugas utamanya ialah mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Mehmet Durakovic.


PEMAIN PKNP FC, Syazwan Zaipol Bahari (kiri) ketika beraksi dalam Liga Perdana menentang Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Saya mahu beraksi dalam perlawanan dan bukan sekadar jadi penumpang atau memanas kerusi pemain simpanan," katanya.

Namun pemain itu sedar tugas berat dihadapinya kerana berhadapan saingan sengit dalam pasukan yang turut mempunyai pemain kebangsaan iaitu Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azihan Aznan selain Shahrul Saad.

"Memang sukar dan sengit tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk dapat tempat," katanya.

Menurut Syazwan, buat sementara waktu tumpuannya ialah terhadap misi bersama pasukan B-23 sebelum melapor diri kepada Durakovic.

Berita Harian X