Isnin, 25 Disember 2017 | 6:57pm
AHMAD Yusof (Empat dari kiri) di Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Liga FAM 2018, Terengganu City FC dan Hanelang FC. - Foto Faizul Azlan Razak

Ahmad Yusof kemudi Hanelang FC

KUALA TERENGGANU: Bekas ketua jurulatih Sime Darby, Ahmad Yusof kembali ke bumi Terengganu dengan kali ini membimbing skuad Hanelang FC yang beraksi dalam saingan Liga FAM.

Pengendali berusia 57 tahun berkelana mencari pasukan baharu musim depan selepas pasukan bimbingannya, Sime Darby menarik diri menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018.

Ahmad menjulang Sime Darby muncul juara menewaskan UKM FC pada perlawanan akhir Piala FAM musim ini sekali gus layak ke Liga Perdana musim depan. Namun, pasukan itu membuat keputusan menarik diri daripada bersaing daripada Liga M musim 2018.

Musim ini, Hanelang FC yang berpangkalan di Hulu Terengganu itu dibimbing dua bekas penyerang Terengganu era 80-an iaitu Zakaria Ismail sebagai ketua jurulatih dan pembantunya, Saipuddin Alias.

Pengendali kelahiran Pulau Pinang itu berkata, beliau bersedia menyahut cabaran membentuk sebuah pasukan mantap dengan gabungan pemain senior dan baharu.

Bekas ketua jurulatih Terengganu musim 2016 itu berkata, biarpun memiliki rekod cemerlang bersama Sime Darby musim ini, namun ia bukan tugas mudah bersama Hanelang FC bagi mengharungi musim 2018.

"Saya bersedia memikul tanggungjawab yang diberikan dan akan menilai pemain dengan gabungkan pemain senior serta muda dalam pasukan ini.

"Jika semua dapat memberikan komitmen, tidak mustahi akan dapat melihat pasukan ini melangkah jauh dengan mencipta kejayaan dalam Liga FAM musim 2018," katanya.

Ahmad hadir pada Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Terengganu City FC (TCFC) dan Hanelang FC bersama penaja rasmi kedua pasukan, Tulangis Group di sini.

Ahmad memulakan bidang kejurulatihan bermula pada tahun 2008 dengan Pahang sebagai ketua jurulatih diikuti kelab Proton FC (penolong jurulatih 2009); Kedah (ketua jurulatih 2010 hingga 2011); FELDA United (penolong jurulatih 2012), Terengganu (penolong jurulatih 2014 hingga 2015, ketua jurulatih 2016).

Berita Harian X