Isnin, 1 Januari 2018 | 1:01pm
PEMAIN PDRM, Shahurain Abu Samah (kiri) masih mempunyai baki kontrak setahun dengan skuad The Cops. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Shahurain yakin mampu julang PDRM

SEREMBAN: Selepas menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekadar menamatkan saingan di tangga kelapan Liga Perdana 2017, pemain sayap kanan, Shahurain Abu Samah bertekad membawa skuad berkenaan menduduki tangga jauh lebih baik musim ini.

Pemain berusia 30 tahun itu yang masih mempunyai baki kontrak setahun dengan PDRM berkata, prestasinya semakin baik selepas sebulan menjalani latihan di bawah bimbingan pengendali baru, Zulhamizan Zakaria.

Katanya, biarpun baru pertama kali berlatih di bawah bekas pengendali Kuantan FA itu, tetapi dia tidak menghadapi banyak masalah sebaliknya semakin serasi dengan teknik serta taktikal yang diketengahkan.

"Setakat ini, saya bertambah yakin dengan prestasi semasa selepas sebulan berada di bawah Zulhamizan malah gandingan beliau dengan pengendali sebelum ini, Mohd Fauzi Pilus tampak lebih meyakinkan.

"Tindakan pengurusan PDRM membawa masuk beberapa pemain muda terutama bekas pemain Kuantan FA adalah bijak kerana mereka boleh menjadi nadi kepada pasukan ini nanti kerana sudah memiliki pengalaman mengharungi saingan Liga Perdana sebelum ini.

"Kami juga sudah berjaya membentuk persefahaman mantap dengan pemain baru termasuk import dan saya percaya ia akan menjadi elemen penting dalam membantu kami menjadi pesaing utama Liga-M 2018 ini," katanya.

Shahurain antara tonggak yang membantu Negeri Sembilan menjulang trofi Piala Malaysia pada 2009 dan 2011 sebelum beralih arah ke FELDA United FC dan PKNS FC.

Menurut pemain kelahiran Kajang, Selangor itu, keputusan memberangsangkan dalam dua aksi persahabatan dengan Negeri Sembilan iaitu menang 3-0 di Paroi dan 1-1 di Bangi baru-baru ini, meningkatkan lagi semangatnya untuk menjulang nama skuad The Cops.

"Saya akan bekerja lebih keras lagi untuk membantu pasukan meraih pencapaian lebih baik dengan sasaran peribadi membantu pasukan layak ke Liga Super musim 2019," katanya.

Shahurain berkata, kehadiran FELDA United FC dalam saingan Liga Perdana bakal menjanjikan saingan lebih menarik dan sengit dan ia akan membuatkan setiap pasukan berusaha memperagakan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

"Saya akui kehadiran FELDA United FC akan menjadikan Liga Perdana lebih sengit kerana mereka amat berpengalaman dan memiliki ramai pemain berwibawa," katanya.

Berita Harian X