Jumaat, 5 Januari 2018 | 3:28pm
SKUAD Negeri Sembilan kini berada di Kemboja untuk siri lawatan dan aksi persahabatan. - Foto Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan

NS cari kekuatan di Kemboja

SEREMBAN: Skuad Negeri Sembilan yang kembali memberikan saingan dalam Liga Super musim ini mahu memanfaatkan sebaik mungkin siri lawatan dan aksi persahabatan selama seminggu di Kemboja yang bermula hari ini hingga 11 Januari ini.

Penolong kapten pasukan itu yang baharu dilantik, Mohd Fauzan Dzulkifli berkata, semua pemain akan memberikan fokus utama kepada usaha mencapai tahap prestasi terbaik dan membentuk skuad mantap menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, 3 Februari ini.

Bekas pemain PKNS FC berusia 30 tahun itu berkata, sepanjang seminggu berada di Kemboja, skuad bimbingan Jorg Steinnerbrunner itu akan menentang tiga pasukan kelab dari negara berkenaan iaitu Army FC, PPC FC dan Svay Rieng FV.

"Saya melihat aksi persahabatan ini amat penting dalam membantu kami membentuk keserasian dan persefahaman antara pemain. Biarpun sebahagian besar pemain musim ini sudah dikumpulkan dan menjalani latihan sejak awal Disember lalu, namun masih ada segelintir daripada mereka yang baharu menganggotai pasukan ini terutama pemain import.

"Justeru, kami akan gunakan sebaik mungkin siri latihan dan aksi persahabatan di Kemboja nanti untuk membina kekuatan baharu dalam pasukan sebelum memulakan cabaran getir saingan Liga-M yang tinggal tidak sampai sebulan.

"Saya yakin ia akan memberi banyak manfaat kepada usaha membentuk skuad lebih mantap," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Fauzan antara beberapa pemain tempatan baharu yang menyertai skuad Hobin Jang Hobin musim ini manakala pemain lain yang mengikut jejaknya ialah Mohd Fakrul Aimin Sidid, Mohd Aizulridzwan Razali dan Muhamad Syahid Zaidon, ketiga-tiganya dari FELDA United FC.

Selain itu, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan Mohd Khairul Izuan Rosli (Kelantan) serta Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid dari Selangor manakala empat pemain Piala Presiden yang dinaikkan taraf ialah L Kalaiharasan, Mohd Aiman Mohd Khalidi, Mohd Asraf Roslan dan Mohd Fauzi Abd Latif.

Mengulas mengenai sasaran satu piala yang ditetapkan Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap skuad berkenaan, Mohd Fauzan yakin ia boleh diterjemahkan.

Dia yang beraksi di posisi tengah itu berkata, pemain tempatan dan import yang ditampilkan skuad berkenaan kali ini dilihat lebih berwibawa dan diyakini mampu memberikan sumbangan terbaik dalam misi menjulang nama Negeri Sembilan.

Menurut pemain kelahiran Tanjong Karang Selangor itu, biarpun impian merealisasikan sasaran berkenaan bukan tugas mudah, namun ia tidak mustahil untuk diterjemahkan.

"Sebagai pemain profesional, kita kena ambil cabaran yang ditetapkan pesiden itu dengan semangat dan keyakinan yang tinggi. Saya dan rakan-rakan dalam pasukan akan berusaha dan berjuang bermati-matian untuk merealisasikan impian berkenaan," katanya.

Berita Harian X