Sabtu, 6 Januari 2018 | 1:18pm
PEMAIN import baru PKNS FC, Romel Morales Ramirez tak anggap masalah kurang fasih berbahasa Inggeris sebagai halangan untuk dia mempamerkan persembahan terbaik. - Foto Owee Ah Chun

Ramirez ketepi masalah bahasa

KUALA LUMPUR: Pemain import baharu PKNS FC, Romel Morales Ramirez tidak menganggap masalah kurang fasih berbahasa Inggeris sebagai halangan untuk dia mempamerkan persembahan terbaik bersama skuad itu musim ini.

Sebaliknya, Ramirez menjelaskan perkara paling utama adalah keserasian antara semua pemain dalam membentuk permainan terbaik di atas padang.

"Apa yang saya lihat jurulatih (Datuk K Rajagobal) mempunyai pengalaman yang cukup luas dan semua pemain dalam skuad ini juga senang untuk bergaul.

"Jadi, bahasa mungkin bukan masalah utama bagi saya kerana bola sepak bersifat sejagat dan pemain ada cara tersendiri untuk berkomunikasi dan membentuk persefahaman.

"Hanya yang menjadi tugas berat ketika ini adalah memberi persembahan terbaik dan membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya," kata pemain kelahiran Colombia itu.

Semalam, Ramirez bersama pemain Singapura, Muhammad Faris Ramli sah menjadi pemain import PKNS apabila menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad Semut Merah.

Rajagobal kini sedang mengintai tiga lagi pemain untuk melengkapkan kuota lima import yang diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada pasukan Liga Super.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu memerlukan perancangan terperinci dalam membentuk skuad bagi menggalas misi PKNS untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Sementara itu, ejen kepada Ramirez, Effendi Jagan Abdullah memberi jaminan Ramirez hanya memerlukan sedikit masa untuk mengatasi masalah dalam berkomunikasi.

"Saya pernah membawa beberapa pemain seperti Juan Manuel Arostegui (bekas pemain import ATM) yang tidak boleh berbahasa Inggeris.

"Namun, hanya selepas dua atau tiga bulan dia mampu mengikuti segala perancangan pasukan dan menjadi antara pemain terbaik dalam Liga Malaysia," katanya.

68 dibaca
Berita Harian X