Sabtu, 6 Januari 2018 | 9:45pm
PEMAIN tengah Liverpool, Philippe Coutinho hampir pasti sertai gergasi Sepanyol, Barcelona. - Foto AFP

Coutinho semakin hampir ke Barcelona

BARCELONA: Barcelona dan Liverpool secara dasarnya sudah bersetuju dengan perpindahan Philippe Coutinho ke Sepanyol dengan yuran perpindahan dianggarkan AS$144 juta (RM575.64 juta), menurut laporan, hari ini.

Akhbar berpangkalan di Barcelona, Sport berkata, Coutinho akan menyertai Barca bulan ini dengan perjanjian selama lima musim sekali pun dipercayai butiran perjanjian itu masih belum dimuktamadkan.

Perpindahan Coutinho menjadi tamparan hebat buat Liverpool, tetapi membenarkan Barcelona melupakan kepahitan selepas kehilangan bintang Brazil, Neymar musim panas lalu.

Neymar membuat kejutan dengan menyertai kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) dengan yuran memecah rekod dunia 222 juta euro (RM1.06 bilion).

Usia Coutinho yang baharu mencecah 25 tahun juga menjadi tarikan kepada Barca yang ketiga-tiga bintang utamanya Lionel Messi, Luis Suarez dan Andres Iniesta sudah memasuki usia 30-an.

Akhbar harian sukan Perancis, L'Equipe hari ini melaporkan Liverpool membariskan pemain Leicester, Riyad Mahrez bagi menggantikan Coutinho.

Begitupun, laporan lain mengatakan kelab Merseyside itu lebih berminat dengan Thomas Lemar dari Monaco. - AFP

Berita Harian X