Selasa, 9 Januari 2018 | 9:55pm
PKNS FC masih dalam proses rundingan dengan bekas pemain import Kedah, Zac Anderson bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

PKNS, Anderson sedang berunding

KUALA LUMPUR: PKNS FC mengesahkan belum menandatangani kontrak bersama bekas pemain import Kedah, Zac Anderson bagi memperkuatkan skuad itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengurus pasukan PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid menjelaskan pihaknya masih dalam proses rundingan dengan pemain berusia 26 tahun itu.

Katanya, sebarang kata putus mengenai rundingan itu akan dimaklumkan kepada media dan peminat termasuk mengenai dua lagi pemain import yang bakal ditandatangani.

"Memang PKNS berminat untuk mengikat Anderson, tapi buat masa ini tiada sebarang kata putus daripada kedua-dua pihak kerana ia masih dalam proses rundingan.


SEMALAM, PKNS memuat naik gambar Anderson yang hadir menyaksikan latihan skuad Semut Merah di Kelana Jaya beserta kenyataan 'seseorang sudah tiba.' - Foto FB PKNS FC

"Selain Anderson, kami juga sedang berunding dengan pemain dari Argentina yang akan mengisi posisi tengah. Tapi pemain ini belum pernah beraksi dalam Liga Malaysia.

"Malah, kami turut sedang mencari seorang lagi pemain import di bahagian serangan sekali gus melengkapkan kuota lima import yang dibenarkan untuk pasukan Liga Super," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, PKNS memuat naik gambar Anderson yang hadir menyaksikan latihan skuad Semut Merah di Kelana Jaya beserta kenyataan 'seseorang sudah tiba.'

Tindakan itu mengundang persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kerana Anderson sememangnya sudah tidak bersama Kedah untuk musim ini.

PKNS sebelum ini sudah menadatangani dua pemain import termasuk pemain Singapura, Muhammad Faris Ramli yang mengisi kuota import Asia Tenggara serta pemain Colombia, Romel Morales Ramirez dengan kontrak setahun.

Skuad bimbingan bekas jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal itu tampak serius untuk menjayakan misi mereka menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini selepas membawa masuk beberapa muka baharu termasuk pemain tempatan.

156 dibaca
Berita Harian X