Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:48pm
PEMAIN import baharu PKNS FC, Jonatan Leonel Acosta optimis dengan kekuatan Semut Merah ketika sesi latihan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya. - Foto Asyraf Hamzah

Acosta puji pemain tempatan PKNS FC

KUALA LUMPUR: Pemain tengah import baharu PKNS FC, Jonathan Acosta optimis dengan kekuatan Semut Merah selepas menyaksikan sendiri kemampuan pemain tempatan yang membarisi pasukan itu musim ini.

Jelas pemain kelahiran Argentina itu, kesempatan berganding bersama pemain tempatan ketika tempoh percubaannya sebelum sah menandatangani kontrak setahun memberi gambaran terhadap kemampuan pasukan itu untuk mengharungi saingan Liga Super musim ini.

"Saya beraksi beberapa perlawanan ketika sesi percubaan bersama pasukan dan saya melihat pasukan ini dibarisi pemain tempatan yang baik. Jadi, saya yakin pasukan ini dapat muncul selaku pencabar selepas saingan sebenar bermula nanti.

"Malah, saya harap mahu melakukan yang terbaik dan cuba untuk menjaringkan seberapa banyak gol bagi membantu pasukan meraih kemenangan," katanya pada sesi latihan di Kompleks Sukan PKNS, hari ini.

Pemain berusia 29 tahun itu adalah pemain import keempat menyertai PKNS FC selepas berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain tengah Home United, Muhammad Faris Ramli, pemain muda berusia 19 tahun dari Colombia, Romel Morales Ramirez dan bekas pertahanan Kedah, Zac Anderson.

Pemain dengan ketinggian 175 sentimeter itu menghabiskan sebahagian besar kariernya di Argentina, namun pernah beraksi di Asia apabila dipinjamkan ke pasukan Hong Kong, Happy Valley pada 2013 dan beraksi bersama pasukan dari Colombia, Jaguares sebelum menyertai PKNS FC.

Sebelum ini, jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal menyifatkan kehadiran Costa sebagai pilihan tepat bagi memperbaiki beberapa kelemahan yang dikenal pasti musim lalu.

"Jonathan menepati pendekatan yang mahu kami terapkan musim ini dan dia memiliki reputasi baik serta mampu memberikan kreativiti ketika menyerang," kata Rajagobal selepas majlis menandatangani kontrak pemain itu yang berlangsung di Kompleks Sukan PKNS, Rabu lalu.

Berita Harian X