Khamis, 18 Januari 2018 | 10:09am
Paris Saint-Germain's Brazilian forward Neymar celebrates scoring his team's fifth goal during the French L1 football match between Paris Saint-Germain and Dijon on January 17, 2018 at the Parc des Princes stadium in Paris. / AFP PHOTO / CHRISTOPHE SIMONCHRISTOPHE SIMON

Neymar ledak 4 gol, Cavani samakan rekod Ibra

PARIS: Neymar meledak empat gol ketika Edinson Cavani menyamai rekod jaringan sepanjang zaman Paris Saint-Germain milik Zlatan Ibrahimovic apabila pendahulu Ligue 1 itu membelasah Dijon 8-0 awal pagi tadi.

Angel Di Maria menyumbang dua gol dalam suku jam pertama di Parc des Princes sebelum pemain Argentina itu melakukan hantaran silang yang disudahkan Cavani bagi gol ke-156 bersama PSG.


NEYMAR gagal dihalang pertahanan Dijon pada aksi liga, awal pagi tadi. - Foto AFP

Neymar menandakan kepulangannya daripada kecederaan tulang rusuk dengan gol keempat tuan rumah sejurus sebelum rehat dan bintang Brazil itu melengkapkan hatrik dengan dua gol lagi pada babak kedua ketika Dijon tidak mampu berbuat apa-apa.

Kylian Mbappe terus menghukum pelawat 13 minit sebelum tamat sebelum Neymar menyumbat gol keempat peribadi menerusi sepakan penalti - menafikan Cavani peluang melakar sejarah kelab sekali gus mencetus ejekan peminat tuan rumah.

"Cavani penjaring gol kami dan dia banyak meningkat di sini. Pasukan ini membantunya meraih pencapaian peribadi ini," kata jurulatih PSG, Unai Emery yang pantas mempertahankan keputusan Neymar mengambil tendangan penalti itu.

"Saya fikir Neymar mengambil sepakan itu kerana ia hari yang bagus buatnya. Kami gembira dengannya. Tapi ada banyak peluang lagi buat Cavani untuk menjaringkan gol."


EDINSON Cavani yang turut menyumbang satu gol awal pagi tadi, menyamai rekod jaringan sepanjang zaman PSG milik Zlatan Ibrahimovic iaitu 156 gol. - Foto AFP

Di Maria, yang meraih gol tunggal ketika menang 1-0 di Nantes Ahad lalu, memerlukan hanya empat minit di Paris untuk meletakkan tuan rumah di depan dengan rembatan kaki kiri menakjubkan ke penjuru gol.

Bekas pemain sayap Real Madrid dan Manchester United itu menambah gol kedua apabila dia melakukan tindakan penyudah selepas Neymar melambungkan bola melepasi penjaga gol Dijon, Baptiste Reynet susulan lorongan bola daripada Cavani.

Penyerang Uruguay itu kemudian meledak gol ke-20 liga musim ini dengan menanduk masuk hantaran silang Di Maria dari kanan, menyamai rekod Ibrahimovic dicatat dalam empat musim di ibu negara Perancis itu.

"Satu perlawanan yang amat bagus menentang Dijon yang gagal memberikan tentangan. Kami hampir sempurna hari ini," kata pertahanan PSG, Thomas Meunier. - AFP

Berita Harian X