Khamis, 25 Januari 2018 | 10:10am
PENYERANG PSG dari Uruguay, Edinson Cavani (kanan) bersaing dengan pemain Guingamp dari Cameroon, Felix Eboa Eboa pada saingan Piala Perancis di Stadium Parc des Princes, awal pagi tadi. - Foto AFP

PSG tetap menyerlah tanpa Neymar

PARIS: Paris Saint-Germain seolah-olah tidak merasai ketiadaan Neymar apabila mudah membenam Guingamp 4-2 sekali gus layak ke kelompok 16 pasukan terakhir Piala Perancis awal pagi tadi tetapi hasrat Edinson Cavani untuk melakar rekod jaringan bersama kelabnya itu masih lagi tertangguh.

Walaupun PSG mendominasi permainan, Cavani tetap gagal meletakkan namanya selaku penjaring walaupun memiliki beberapa peluang untuk menambah koleksi gol yang ke-157.


PEMAIN PSG memeluk Javier Pastore selepas meledak gol ketika menentang Guingamp pada aksi Piala Perancis di Stadium Parc des Princes, awal pagi tadi. - Foto AFP

Penyerang Uruguay itu hampir bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman buat PSG selepas menyamai catatan Zlatan Ibrahimovic ketika pasukannya menang 8-0 ke atas Dijon minggu lalu.

Pada perlawanan itu, Neymar meninggalkan padang dalam keadaan berang selepas diejek penyokong Parc des Princes apabila dia mengambil keputusan untuk menyempurnakan penalti dan tidak membenarkan Cavani berbuat demikian.

Pemain termahal dunia itu tidak beraksi ketika PSG tewas 1-2 di tangan Lyon, Ahad lalu dan namanya sekali lagi tercicir awal pagi tadi atas alasan kecederaan.

Bercakap mengenai Neymar, jurulatih PSG, Unai Emery berkata: "Dia meneruskan proses pemulihannya dengan pakar fisiologi kami. Saya harap dia akan kembali secepat mungkin.

"Dia berada di sini, di Paris. Dia pemain hebat dan kita wajar terus menyokongnya."

Seorang lagi pemain yang tidak diturunkan ialah Kylian Mbappe yang terpaksa diusung keluar selepas bertembung dengan pemain Lyon, Anthony Lopes.

"Dia tidak apa-apa, kita lihat sama ada dia boleh kembali bermain, Sabtu ini tetapi saya harap dia bersedia untuk aksi menentang Lille (3 Februari) nanti. Ia adalah terjahan yang agak keras dan saya bimbang jika kecederaan yang dialaminya jauh lebih serius," kata Emery.

Adrien Rabiot membuka jaringan buat PSG pada minit ke 21 diikuti gol sendiri Lucas Deaux dengan Javier Pastore serta Marquinhos melengkapkan kemenangan pendahulu Ligue 1 itu.

Marcus Thuram dan Yeni Ngbakoto pula menghasilkan gol buat Guingamp. - AFP

Berita Harian X