Selasa, 30 Januari 2018 | 6:52pm
PENYERANG tinggi lampai dari pasukan DPMM FC, Rafael Ramazotti de Quatros (tengah) mengisi slot pemain import kelima PKNS FC, musim ini. - Foto AGENSI

PKNS ikat peledak berbisa Liga Singapura

KUALA LUMPUR: PKNS FC jelas serius untuk menjadi pencabar Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas berjaya mengikat penggempur berbisa kelahiran Brazil, Rafael Ramazotti de Quatros sekali gus mengisi slot import kelima skuad Semut Merah.

Perkembangan itu disahkan pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abd Rashid yang mengakui reputasi tinggi pemain berusia 29 tahun itu yang muncul selaku penjaring terbanyak Liga Singapura pada musim 2015 dan 2016 dilihat dapat memacu jentera serangan pasukan itu.

Katanya, jurulatih pasukan, Datuk K Rajagobal turut menyifatkan pemain berkenaan sesuai dengan sistem dan taktikal permainan yang sudah dibentuk.

"Pemilihan Rafael sebagai import kelima sudah pasti dapat membantu jentera serangan walaupun kami sudah memiliki penyerang tempatan berkaliber seperti Safee Sali dan penyerang muda negara, Jafri Firdaus Chew.

"Pemilihan Rafael juga dinilai berdasarkan kepada keupayaan yang diperagakan olehnya ketika beraksi dalam Liga Singapura.

"Selepas diturunkan pada aksi bertemu Gyeongnam FC minggu lalu, kami mengharapkan kombinasi jentera serangan dapat menunjukkan persefahaman sekali gus membantu mencipta kejayaan untuk pasukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penyerang tinggi lampai yang beraksi bersama pasukan DPMM FC itu muncul penjaring terbanyak Liga Singapura untuk dua musim berturut-turut apabila meledak 21 gol pada musim 2015 dan 20 gol pada musim 2016.

Malah, bekas pemain Gil Vicente itu turut muncul selaku penjaring ketiga terbanyak di Liga Singapura pada musim 2017 dengan 14 gol.

Selain Rafael, PKNS FC turut mengikat empat lagi pemain import iaitu pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli; bintang muda Colombia berusia 19 tahun, Romel Morales; bekas pertahanan tengah Kedah dari Australia, Zac Anderson serta pemain tengah kelahiran Argentina, Jonathan Acosta.

68 dibaca
Berita Harian X