Selasa, 6 Februari 2018 | 9:07pm
LEGENDA bola sepak negara Mohd Raimi Mohammed Jamil (kanan) dikunjungi bekas mendapat rakan sepasukannya ketika mewakili negara era 80-an Razip Ismail (tengah) dan Akob Hitam. - Foto Ihsan Mohd Raimi Mohammad Jamil
LEGENDA bola sepak negara Mohd Raimi Mohammed Jamil (kanan) dikunjungi bekas mendapat rakan sepasukannya ketika mewakili negara era 80-an Razip Ismail (tengah) dan Akob Hitam. - Foto Ihsan Mohd Raimi Mohammad Jamil

Raimi jalani pembedahan jantung

KUALA LUMPUR: "Saya mohon peminat bola sepak doakan saya selamat menjalani pembedahan jantung pagi esok.

"Selain itu andai saya pergi terlebih dulu mengadap Ilahi, saya ingin mengambil kesempatan memohon maaf kepada semua yang mengenali saya secara langsung atau sebaliknya jika ada melakukan kesilapan dan menyinggung perasaan," kata legenda bola sepak negara, Mohd Raimi Mohammed Jamil, 55, ketika dihubungi.

Bekas penjaga gol terbaik negara dan Terengganu yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur sejak 2 Februari lalu perlu menjalani pembedahan segera.

"Pembedahan ini perlu dilakukan segera atas nasihat doktor selepas rawatan lanjut semalam mendapati salah satu saraf yang tersumbat berisiko tinggi dijangkiti strok.

"Oleh sebab itu saya tiada pilihan lain melainkan perlu juga melakukan pembedahan ini dengan seberapa segera walaupun kosnya terlalu tinggi dan sudah pasti saya tidak mampu," kata bekas penjaga gol skuad Harimau Malaya itu.

Pada 16 Januari lalu, penjaga gol yang pernah menyarung jersi Terengganu selama 16 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, dekat sini, selepas pengsan kerana diserang penyakit jantung.

Selepas lebih seminggu berada di hospital itu, penjaga gol negara dalam saingan pra-Piala Dunia 1985 zon Asia itu dirujuk ke IJN untuk rawatan lanjut.

"Walaupun kisah penderitaan saya ini tidak ramai yang tahu dan tidak mendapat perhatian bekas majikan saya, tapi beberapa sahabat ketika berada dalam pasukan negara seperti Datuk Ramlan Askolani, Akob Hitam, Kamarulzaman Yusof, Razip Ismail, Zakaria Mohamad dan ramai lagi datang menziarah sekali gus mampu menguatkan semangat saya," kata Raimi.

Berita Harian X