Selasa, 6 Februari 2018 | 9:19pm
PENYOKONG Negeri Sembilan mengharapkan skuad Hobin Jang Hobin bangkit pada aksi kedua menentang Kuala Lumpur, malam esok. - Foto Hazreen Mohamad

Penyokong tagih aksi terbaik

SEREMBAN: Selepas memulakan aksi Liga Super tanpa sebarang mata, Kelab Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan (N9futbol.com) mengharapkan pasukan negeri itu dapat bangkit pada perlawanan kedua menentang Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Presidennya Ahmad Zaini Baharun berkata, kemenangan pertama itu perlu bagi meningkatkan keyakinan pemain dan memberikan rentak baik untuk meneruskan cabaran.

Menurutnya, pasukan bimbingan Jorg Steinebrunner itu seharusnya tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan pertama.

"Walaupun Kuala Lumpur lebih baik berdasarkan pencapaian mereka musim lalu, Negeri Sembilan mempunyai kelebihan kerana beraksi di laman sendiri.

"Kami (penyokong) mengharapkan pemain dapat memperagakan aksi lebih mantap bagi memastikan kemenangan direalisasikan di depan penyokong sendiri.

"Kami yakin pemain skuad Negeri Sembilan kali ini dapat menggalas cabaran dengan baik dalam Liga Super dan mampu menjulang kembali nama pasukan selepas sekian lama tanpa kejayaan," katanya di sini, hari ini.

Selain membawa masuk beberapa pemain tempatan berpengalaman, skuad Hobin Jang Hobin turut mempertaruhkan lima import iaitu Kim Do Heon dari Korea Selatan, Prak Mony Udom (Kemboja), Renars Rode (Latvia), Flavio Beck Junior (Brazil) dan Nicolas Velez (Argentina).

"Kami harap tuah Stadium Paroi dapat menyaksikan Negeri Sembilan meraih kemenangan pertama," kata Zaini.

Berita Harian X