Rabu, 7 Februari 2018 | 10:07am
PENGENDALI Tottenham, Mauricio Pochettino bimbang analisa berlebihan terhadap keputusan pengadil berhubung tindakan pemain yang sengaja merebahkan badan beri impak negarif. - Foto Reuters

Analisa berlebihan bunuh bola sepak - Pochettino

LONDON: Pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino bimbang bola sepak Inggeris menjadi mangsa susulan analisa berlebihan terhadap keputusan pengadil berhubung tindakan pemain yang sengaja merebahkan badan untuk mendapat penalti.

Skuad Pochettino terikat 2-2 ketika menentang Liverpool dalam saingan liga Ahad lalu yang menyaksikan pengadil Jon Moss memberikan penalti kontroversi.

Tottenham diberikan dua penalti kontroversi sekali gus menjadi buah mulut sejak dua hari lalu termasuk kecaman ke atas kad kuning yang dilayangkan ke atas pemain tengah Spurs, Dele Alli atas kesalahan sengaja merebahkan badan.

Pochettino mengakui ketiga-tiga keputusan pengadil itu betul tetapi rakan sejawatnya di Liverpool, Jurgen Klopp berang apabila Spurs diberikan penalti pada saat akhir perlawanan yang menyaksikan Harry Kane menyempurnakan penalti kedua yang diberikan.

Pochettino percaya, tumpuan analisa ke atas isu itu secara berlebihan menyebabkan mereka terlupa menilai persembahan sebenar pasukan berkenaan.

"Bola sepak adalah sukan kreatif yang memerlukan bakat dengan kepintaran pemain bersama dengan otaknya yang pintar," katanya.

"Sekarang kita pula terlalu fokus kepada perkara kecil dengan terperinci. Entahlah. Saya bimbang dalam beberapa tahun lagi, apa akan jadi ke atas sukan ini yang ditonton oleh peminat seluruh dunia.

"Jika kita tidak melakukan perubahan ke atas sukan ini misalnya menggunakan struktur rigid - VAR, kita terlalu memberikan fokus berlebihan ke atas perkara kecil seperti ini."

Mengulas mengenai tindakannya menyebelahi gelagat Alli yang kerap merebahkan badan, Pochettino mengakui tidak perlu bimbang dengan isu yang diperkatakan ke atas bintang England berkenaan.

"Itulah jenis bola sepak yang saya minat sejak kecil. Bola sepak ialah sukan yang cuba mengelirukan lawan. Kamu tahu tak? Benar atau tidak? Ia adalah taktik. Apa maksud sebenar taktik?

"Apabila kamu melakukan suatu taktik, ia adalah cubaan mengelirukan lawan anda. Sebagai contoh, katakan, oh saya bermain di sebelah kanan, tetapi saya akhirnya bermain di posisi sebelah kiri."

"Sekarang ini timbul satu perasaan bercampur aduk dan saya bimbang mengenai perbuatan ini lama kelamaan akan membunuh sukan ini. Kita sama-sama sayangkan sukan ini," katanya. - AFP

Berita Harian X