Jumaat, 9 Februari 2018 | 2:28pm
PENYERANG Real, Cristiano Ronaldo diharap dapat membentuk gandingan mantap bersama Gareth Bale dan Karim Benzema apabila berdepan Real Sociedad dalam aksi La Liga, awal pagi Ahad. - Foto REUTERS
PENYERANG Real, Cristiano Ronaldo diharap dapat membentuk gandingan mantap bersama Gareth Bale dan Karim Benzema apabila berdepan Real Sociedad dalam aksi La Liga, awal pagi Ahad. - Foto REUTERS

Peluang Real pulih maruah

MADRID: Beberapa hari sebelum Paris Saint-Germain (PSG) menjejakkan kaki ke ibu negara Sepanyol, Real Madrid kendalian Zinedine Zidane berpeluang memulihkan keyakinan mereka apabila berdepan Real Sociedad dalam aksi La Liga, awal pagi Ahad.

Juara Eropah itu berdepan isu ketandusan gol kini menghadapi aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Neymar, Edinson Cavani dan Kylian Mbappe.

Skuad Zidane hanya merekodkan satu perlawanan tanpa bolos daripada lapan perlawanan dan mereka mungkin menanggung padah jika bolos sebarang gol berdepan kelab gergasi Perancis itu dalam aksi di Santiago Bernabeu.

"Ini menunjukkan kami perlu bekerja lebih keras daripada sebelumnya. Inilah bola sepak, siapa saja lawan anda, mereka akan cuba memberi laluan sukar," kata Zidane selepas pasukannya seri 2-2 dengan Levante.

Keputusan itu meletakkan Madrid di tangga keempat, satu mata di belakang Valencia namun dengan kelebihan satu perlawanan.

REAL Madrid kendalian Zinedine Zidane berpeluang memulihkan keyakinan mereka sebelum berdepan PSG dalam saingan Liga Juara-Juara. - Foto REUTERS
REAL Madrid kendalian Zinedine Zidane berpeluang memulihkan keyakinan mereka sebelum berdepan PSG dalam saingan Liga Juara-Juara. - Foto REUTERS

Real Sociedad berada dalam kelompok bawahan liga tetapi 'meriah' dengan jaringan, yang menyaksikan mereka menang 5-0 ke atas Deportivo La Coruna hujung minggu lalu.

Mereka juga mempunyai antara rekod pertahanan terburuk di Sepanyol, jadi Cristiano Ronaldo yang akan menyambut ulang tahun ke-33 minggu ini diharap dapat membentuk gandingan mantap bersama Gareth Bale dan Karim Benzema.

Skuad kendalian Zidane masih ketinggalan 19 mata berbanding pendahulu Barcelona, yang kekal tanpa kalah namun jurulatih kelahiran Perancis itu masih enggan mengalah daripada misi mempertahankan gelaran La Liga, sekurang-kurangnya di mata umum.

"Saya sentiasa akan katakan bahawa liga ini masih belum berakhir. Masih banyak mata untuk direbut, namun kami hilang dua mata dalam perlawanan yang kami kuasai," katanya mengulas mengenai perlawanan minggu lalu di mana Levante bangkit dua kali untuk muncul seri.

"Kami perlu mencatat tiga kemenangan berturut-turut tetapi kami tidak berdaya melakukannya." - AFP

Berita Harian X