Ahad, 11 Februari 2018 | 1:05pm
PEMAIN Terengganu FC, Tchetche Kipre (kiri) diasak pemain Selangor dalam aksi Liga Super Malaysia 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. -Foto ROZAINAH ZAKARIA

Kesilapan individu, pertahanan goyah punca Selangor tewas

KUALA TERENGGANU: Pengendali Selangor, P. Maniam mahu pemainnya melupakan episod kekalahan besar kepada Terengganu FC (TFC) malam tadi dan sebaliknya menumpukan aksi seterusnya selepas ini.

Malah jurulatih berpengalaman itu juga tidak mahu menghukum pemainnya berikutan kekalahan memalukan itu kerana aksi Liga Malaysia (Liga M) masih panjang.

"Kita masih ada dua minggu lagi untuk aksi seterusnya bertemu Pahang. Justeru sebelum aksi itu berlangsung, kita akan tingkatkan prestasi pemain dan pasukan selain saya percaya kita mampu bangkit kembali," kata Maniam.

Dalam aksi malam tadi, skuad The Red Giants yang turun selaku pendahulu Liga Super selepas menundukkan Kuala Lumpur 2-0 dan Melaka United 4-1, dikejutkan 1-4 oleh skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim.

Aksi kurang bertenaga yang dipamerkan anak buah Maniam terutama pada babak kedua perlawanan bagaikan dapat dihidu barisan pemain skuad Penyu apabila berjaya meledak tiga gol pada separuh masa kedua manakala satu jaringan lagi pada babak pertama.

Maniam yang sebelum ini dihimpit masalah padang, mengakui pemainnya gagal beraksi dengan baik selain membiarkan pasukan yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu menguasai bola.

"Secara keseluruhan kita boleh nampak pemain tidak beraksi dengan begitu baik. Sebaliknya, Terengganu berjaya kutip tiga mata kerana mereka begitu kuat di jentera serangan sehingga menyukarkan pemain kita, tahniah buat Terengganu.

"Tapi kita datang ke Terengganu bukan dalam keadaan tekanan biarpun memimpin liga. Cuma kita maklum kepada pemain supaya tetap berwaspada dengan ancaman lawan kerana mereka pasukan yang kuat.

"Bagaimanapun kesilapan individu selain barisan pertahanan kurang kemas membuatkan kita gagal mengutip sebarang mata dalam perlawanan ketiga ini biarpun kami punyai import yang bagus seperti Rufino.

"Tapi malam ini (malam semalam) mereka tidak bermain dengan baik, namun kita masih ada masa untuk tingkatkan prestasi pasukan," kata Maniam.

Berita Harian X