Selasa, 20 Februari 2018 | 1:25pm
NASRULLAH (kanan) tak rela TFCI tewas di halaman sendiri.

Anas tekad kekal rekod tanpa kalah

KUALA TERENGGANU: "Saya tak rela rekod tanpa kalah pasukan lebur di halaman sendiri," kata pertahanan tengah kental Terengganu FC (TFC) berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Nasrullah Haniff Johan.

Pemain yang lebih mesra dipanggil Anas dalam kalangan rakan sepasukan itu berkata demikian menjelang pertemuan keempat saingan Liga Super dengan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Jumaat ini.

Selain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan, Anas yang memulakan kariernya bersama skuad Piala Presiden Negeri Sembilan tekad tidak mahu pintu golnya dibolosi lawan.

Pemain berusia 28 tahun itu yang beraksi selama 2,520 minit dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim lalu berazam mahu membentuk gandingan lebih mantap bersama rakan sepasukannya di benteng pertahanan.

"Beraksi di halaman sendiri sudah pasti saya mahu tampilkan aksi terbaik buat pasukan bertemu skuad Hobin Jang Hobin bagi memastikan kami dapat pulang dengan tiga mata.

"Secara peribadi saya juga mahu pastikan rangkaian penyerang skuad Hobin Jang Hobin tidak dapat bergerak dengan bebas dalam kawasan penalti dan lebih penting mereka tidak dapat menjaringkan gol," kata Anas yang pernah menyarung jersi DRB Hicom pada musim 2016.

Berdasarkan rekod pertemuan dalam saingan Liga Perdana musim lalu, skuad Peteh Terengganu Peteh tewas 2-3 dalam aksi pertama di Paroi manakala dalam aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, pendatang baharu Liga Super itu seri 2-2.

Mengulas lanjut, pemain yang dilabel kereta kebal itu bagaimanapun mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang mudah pertemuan itu sebaliknya perlu berwaspada dengan taktikal bakal diterapkan pengendali lawan, Jorg Steinebrunner.

"Saya rasakan beraksi di Paroi bagaikan bermain di laman sendiri, tapi saya nasihatkan diri dan rakan sepasukan tetap berwaspada kerana berdasarkan rekod musim lalu kita pulang hampa selepas tewas tipis," kata pemain yang mempunyai ketinggian 1.80 meter itu.

11 dibaca
Berita Harian X