Rabu, 21 Februari 2018 | 4:00pm
FAUZAN mahu rakan sepasukan kekang TFC I habis-habisan. FOTO/FAIL

NS tak rela Terengganu curi tiga mata

SEREMBAN: "Kami sedar Terengganu datang untuk mencuri tiga mata, tapi kami tidak akan biarkan ia berlaku sebaliknya akan memastikan kemenangan milik kami," kata penolong kapten Negeri Sembilan, Fauzan Dzulkifli.

Negeri Sembilan akan menanti kunjungan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini.

Pertahanan berpengalaman itu berkata, dia dan rakan sepasukan akan berjuang habis-habisan bagi mempertahankan rekod cemerlang di laman sendiri.

Katanya, walaupun sedar tugas yang akan dihadapi kali ini berbeza, semua pemain Negeri Sembilan sudah bersedia untuk menggalas cabaran pasukan bagi memastikan kemenangan.

"Kami akui prestasi Terengganu ketika ini dilihat amat cemerlang kerana belum lagi tewas, tapi kami sudah bersedia untuk berdepan pasukan itu.

"Walau apa keadaan sekalipun, kami tidak akan membiarkan Terengganu mencuri mata apatah lagi memenangi perlawanan itu nanti, sebaliknya kami akan memastikan kemenangan yang dicapai ke atas Kuala Lumpur tempoh hari, dapat diulangi ke atas skuad Penyu.

"Saya yakin dan percaya melalui persiapan rapi yang dilakukan dalam mengatasi segala kelemahan, kami dapat mempertahankan rekod baik di gelanggang sendiri," katanya di sini, hari ini.

Skuad Hobin Jang Hobin yang kembali bersaing dalam liga utama musim ini membuat permulaan kurang memberangsangkan apabila tewas kepada PKNP FC 0-1 namun bangkit menewaskan skuad warga kota 2-0 di laman sendiri. Bagaimanapun rentak cemerlang itu gagal diteruskan apabila tewas kepada Melaka United 0-3 di Melaka.

Berita Harian X