Rabu, 21 Februari 2018 | 10:28pm
MOHAMMAD Ghaddar kembali perkuat barisan depan TRW. - Foto fail
MOHAMMAD Ghaddar kembali perkuat barisan depan TRW. - Foto fail

Yusri mampu kendali TRW

KOTA BHARU: Persiapan skuad Kelantan yang akan berdepan Perak, Sabtu ini tidak terjejas selepas ketua jurulatih Sathit Bensoh dipecat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) akibat prestasi hambar pasukan, baru-baru ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, The Red Warriors (TRW) yang kini dikendalikan penolong jurulatih Yusri Che Lah dilihat tidak mengalami tekanan bagi menghadapi perlawanan keempat saingan Liga Super itu malah bakal menjadi platform kebangkitan skuad itu.

Bini Ramjani berkata, persediaan pasukan berjalan lancar malah peminat bakal melihat kemampuan sebenar penyerang import dari Lubnan, Mohammad Ghaddar yang juga bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) mengetuai jentera serangan pasukan.

"Barisan jentera pertahanan juga bakal dirombak dengan merehatkan beberapa tonggak seperti Amirridzwan Taj dan menyenaraikan pemain yang sesuai menggantikan gandingan sedia ada.

"Saya yakin dengan percaturan dan perancangan Yusri yang bakal mempertaruhkan barisan terkuat dan perlu diingat pemain perlu fokus sepenuh hati memburu kemenangan serta tidak tercicir sebarang mata di laman sendiri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas pertemuan dengan Perak, Bibi Ramjani mengakui sokongan peminat penting untuk mengembalikan semula aura jaguh Pantai Timur itu agar kembali bangkit sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.

"Kelantan masih ada 90 minit untuk berjuang di hadapan penyokong sendiri dan tidak mustahil kita bakal mengejutkan The Bos Gaurus yang dibarisi beberapa bekas pemain import dan tempatan Kelantan seperti Brendan Gan, Nizad Ayub, Wander Luiz dan Gilmar Jose Da Silva Filho.

"Kehadiran Ghaddar bersama skuad TRW juga bakal menyuntik nafas baharu kepada semua pemain, terutama menambah bisa jentera serangan Kelantan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X