Jumaat, 23 Februari 2018 | 11:48am
PEMAIN Negeri Sembilan tidak akan membiarkan TFC mencuri sebarang mata pada aksi pertembungan di Paroi, malam ini. - Foto ADZLAN SIDEK

NS sedia kecewakan TFC

SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan (NS) menghormati Terengganu FC (TFC) tetapi ia tidak akan membiarkan lawannya itu mencuri sebarang mata apabila menerima kunjungan mereka di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin berkata reputasi cemerlang dipamer lawan mereka itu dalam tiga aksi awal sebelum ini, mendorong anak buahnya membuat persiapan lebih rapi bagi pertemuan itu.

"Saya sudah melihat persiapan pasukan semalam dan yakin dengan perancangan barisan kejurulatihan dalam merangka stategi mantap bagi menjayakan misi menewaskan Terengganu.

"Malah, saya juga percaya moral pemain sangat tinggi untuk memberikan persembahan lebih baik, walaupun pada perlawanan sebelum ini, kami tewas kepada Melaka United," katanya di sini, sebentar tadi.

Mohamad Haslah yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berkata, percaturan Jorg Steinebrunner bersama Mohd Asri Ninggal, dalam memantapkan setiap bahagian terutama jentera serangan, diharap menjadi.

Katanya, pemain yang dipilih menggalas tanggungjawab itu nanti perlu lebih berhati-hati dan memberikan komitmen 100 peratus kerana Terengganu sudah pasti tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

Berita Harian X