Jumaat, 23 Februari 2018 | 3:53pm
FAJER Ibrahim akan tiba di Kota Bharu bagi menyaksikan perlawanan antara Kelantan menentang Perak, malam esok.

Bekas jurulatih Syria latih Kelantan?

KOTA BHARU: Bekas jurulatih pasukan kebangsaan Syria, Fajer Ibrahim dikhabarkan akan mengendalikan skuad Kelantan bagi menggantikan Sathit Bensoh.

Jurulatih kelahiran Damascus itu akan tiba di Kota Bharu bagi menyaksikan perlawanan antara Kelantan menentang Perak di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam esok.

Untuk rekod, Fajer memulakan karier sebagai jurulatih pada tahun 2006 dengan pasukan kebangsaan Syria selama empat tahun serta pernah mengemudi sebuah kelab dari negara itu, Al-Shorta dan dua kelab Iraq, Al-Minna dan Duhok.

Fajer juga pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Syria pada tahun 1981 hingga 1987 dan mewakili pasukan Al-Wahda sebagai pertahanan kiri.

Mengesahkan perkara itu, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata jurulatih berusia 53 tahun itu antara calon jurulatih bagi menggantikan Sathit yang digugurkan susulan prestasi hambar The Red Warriors (TRW) dalam tiga perlawanan sebelum ini.

"Ya, beliau akan tiba ke Kota Bharu bagi menyaksikan perlawanan antara Kelantan dengan Perak malam esok.

"Selepas itu kita akan mendengar perancangannya sebelum membuat sebarang keputusan," katanya yang turut memaklumkan Fajer sangat tegas dalam mengendali pasukan.

Berita Harian X