Isnin, 26 Februari 2018 | 12:44pm
AKSI pemain Negeri Sembilan, Dohean Kim ketika NS menentang TFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. FOTO/IQMAL HAQIM ROSMAN

Kekalahan tak patahkan semangat pemain NS

SEREMBAN: Skuad Negeri Sembilan masih percaya mereka mampu memberikan cabaran dan seterusnya mencatat keputusan positif pada saingan Liga Super walaupun setakat ini sudah merekodkan tiga kekalahan daripada empat perlawanan.

Terbaru, skuad Hobin Jang Hobin tewas kepada Terengganu FC (TFC), 1-2, pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat lalu, sekali gus meleburkan rekod baik mereka di gelanggang sendiri.

Penolong kapten, Mohd Fauzan Dzulkifli, berkata dia dan rakan sepasukan tidak akan patah semangat walaupun hasrat mereka untuk kembali menjulang nama pasukan itu dalam liga musim ini tampak amat mencabar.

Tonggak pertahanan berpengalaman itu berkata, mereka akan terus bekerja keras meningkatkan lagi prestasi dan persembahan dalam pasukan itu, bagi memastikan keputusan lebih baik dapat dicapai pada perlawanan akan datang.

"Walaupun kami tewas kepada Terengganu, pemain masih lagi percaya bahawa kami boleh bagi cabaran dan dapatkan mata pada perlawanan akan datang.

"Malah, melihat kepada keseluruhan persembahan kami tempo hari, ianya sudah menunjukkan peningkatan dan persefahaman yang memberangsangkan antara pemain.

"Masalah yang kami hadapi adalah penyudahan yang kurang berkesan selepas Niclolas Velez yang membantu kepada kemenangan pertama ke atas Kuala Lumpur sebelum ini masih cedera.

"Saya berharap pemain tempatan lain dapat sama-sama memikul tanggungjawab itu pada perlawanan akan datang, jika tiada perubahan dalam kesebelasan utama pasukan," katanya di sini, hari ini.

Selepas menamatkan empat perlawanan liga, skuad bimbingan Jorg Steinebrunner kini menghuni dua tangga terbawah carta apabila sekadar mengumpul tiga mata hasil kemenangan ke atas Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai pertembungan dengan Kedah pada saingan Piala FA di Stadium Darul Aman Alor Setar, Jumaat ini, Mohd Fauzan berkata, semua pemain pasukan itu tidak rela mereka terus menerima aib.

Justeru, bekas kapten PKNS FC itu bertekad bersama rakan sepasukan untuk memberikan persembahan terbaik dan tentangan habis-habisan bagi mencapai keputusan yang memuaskan.

"Ia cabaran yang besar bagi kami kerana Kedah adalah juara bertahan dan mereka baru saja mendapat suntikan semangat selepas berjaya menewaskan PKNS FC dalam aksi Liga Super, semalam, tapi kami akan cuba berikan tentangan habis-habisan bagi mendapatkan keputusan yang baik," katanya.

Berita Harian X