Selasa, 27 Februari 2018 | 1:04pm
PEMAIN PKNS sedia hadapi saingan Hanelang. FOTO/FAIL

Hanelang mahu 'kejut' PKNS

KUALA LUMPUR: Di atas kertas, Hanelang FC bukan tandingan PKNS FC malah darjat kedua-dua kelab itu jelas membezakan status mereka.

Namun, jurulatih Hanelang, Ahmad Yusof berharap skrip di atas padang  akan berbeza apabila kelab bimbingannya bertemu anak buah Datuk K Rajagobal pada pusingan kedua Piala FA, Jumaat ini.

Bagi Ahmad, walaupun tampak sukar namun tidak mustahil kelab Liga FAM itu mampu membuat kejutan ke atas PKNS yang kini menduduki tangga keempat carta Liga Super.

"Saya sedar ramai yang meramalkan perjalanan Hanelang dalam Piala FA akan berakhir Jumaat ini selepas diundi bertemu PKNS.

"Hakikatnya, ia memang perlawanan yang sangat sukar kepada kami kerana status kedua-dua kelab sahaja sudah cukup untuk membezakan keupayaan masing-masing. PKNS bermain dalam Liga Super sementara kami dalam Liga FAM sahaja.

"Tapi, sebagai jurulatih, saya tidak rela Hanelang 'menyerah leher' begitu sahaja tanpa terlebih dahulu melawan. Kalau kalah sekali pun biarlah selepas kami memberi tentangan sengit.

"Malah, dalam bola sepak, tidak ada yang mustahil, kadang-kadang benda pelik boleh terjadi. Peluang tetap ada untuk Hanelang membuat kejutan ke atas PKNS," kata Ahmad.

Jurulatih itu berharap pengalaman beberapa orang pemain seperti bekas penjaga  gol utama Terengganu, Syamsuri Mustafa serta Haris Safwan Kamal, Zairo Anuar Zailani, Reeshafiq Alwi, Hasmizan Kamarodin dan Ahmad Azlan Zainal mampu dimanfaatkan dalam perlawanan itu.

"Kesemua pemain ini ada pengalaman bermain dengan pasukan besar dalam Liga Super. Jadi, saya rasa mereka tidak akan gugup berdepan PKNS.

"Saya ada perancangan tersendiri untuk memerangkap lawan, cuma berharap pemain akan dapat menterjemahkan pada hari perlawanan kelak," ujar bekas jurulatih Terengganu dan Sime Darby itu.

Berita Harian X